Mi soto lebih sihat, rendah kalori

HIDANGAN mi soto antara yang paling kerap dipesan pelanggan di gerai Wak Din di Pusat Penjaja Pertukaran Bedok.

Tidak sekadar mengenyangkan dan berharga berpatutan, hidangan itu turut tersenarai sebagai hidangan lebih sihat oleh Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB).

Semangkuk mi soto yang mengandungi mi kuning, ayam dan sup soto, merupakan hidangan rendah kalori dengan 500 kalori atau rendah.

Menurut HPB, makanan lebih sihat yang berkalori rendah tidak semestinya kecil bahagiannya.

Hidangan lebih sihat dinilai berdasarkan bahan yang digunakan, cara ia disediakan, resipinya serta bahagian yang ditawarkan yang akan dapat membantu warga Singapura tidak mengambil kalori harian melebihi daripada yang disyorkan.

Ditemui semalam, isteri pemilik gerai tersebut, Cik Rahimah Lee Abdullah, berkata resipi mi soto di gerai Wak Din wujud lebih 30 tahun lalu.

"Bahan yang kami gunakan ialah rempah sup soto, garam, rempah seperti bunga lawang, serai dan daun pandan. Kami tidak mengubah apa-apa bagi membuatnya lebih sihat," kata Cik Rahimah, 59 tahun.

Gerai Wak Din merupakan antara 47 daripada 70 gerai di pusat penjaja itu yang menawarkan sekurang-kurangnya satu pilihan makanan lebih sihat atau minuman rendah gula di bawah Program Makanan Sihat anjuran HPB.

Buat masa ini, 36 gerai di pusat penjaja itu menawarkan sejumlah 53 hidangan rendah kalori, seperti thosai masala dan putu mayam bersama kari dal.

Ketika ditemui di pusat penjaja itu semalam, Setiausaha Parlimen (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin Amin, berkata program tersebut membolehkan orang ramai mengurangkan berat badan sambil menikmati juadah yang enak.

"Ini usaha yang penting kerana masyarakat kita ada masalah seperti berat badan berlebihan, tekanan darah tinggi dan sebagainya. Kita harus jaga makan tapi kita juga mahu menikmati makanan yang sedap. Oleh itu, kita perlu pandai memilih. Usaha ini untuk memberi kita pilihan yang banyak supaya kita bijak memilih dan ada keseimbangannya,' kata Encik Amrin yang ditemani Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Encik Chee Hong Tat, dan Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Encik Lee Yi Shyan, di pusat penjaja itu.