Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KERJAYA

Minat dari kecil dorong siswazah muda ceburi bidang veterinar

Feb 17, 2019 | 05:30 AM



MENONTON mendiang Steve Irwin, pengacara popular program hidupan liar, di kaca televisyen sewaktu kecil mendetik impian menjadi doktor haiwan suatu hari nanti.



Namun, perjalanan mencapai cita-cita itu tidak semudah yang Cik Nur Atika Ramadzan sangkakan.



"Apabila saya sedar saya perlukan yuran sekolah sebanyak $500,000 untuk menjadi doktor haiwan, impian itu perlahan-lahan pudar," ujar gadis berusia 24 tahun itu.



Biarpun kewangan menjadi penghambat, peminat haiwan sejak kecil itu merebut segala peluang yang ada dengan menempatkan dirinya dalam bidang ini.



Peluang tersebut timbul pada 2011 setelah beliau menerima keputusan Peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'O'.



Layak masuk ke maktab rendah, bekas pelajar Sekolah Menengah St Hilda's itu sebaliknya memilih laluan politeknik.



Di Politeknik Temasek (TP), beliau mengambil kursus diploma dalam teknologi rawatan haiwan.



Malangnya, selama tiga tahun di TP minat beliau mahu menjadi doktor haiwan pudar buat kali kedua.



Ini tatkala beliau menjalani program kerja sambil belajar (internship) di klinik doktor haiwan yang memerlukan beliau berinteraksi bersama pelanggan.



"Saya cuma mahu bekerja dengan haiwan sahaja dan membina ikatan bersamanya.



Apabila saya merawat haiwan sehingga ia pulih, kepuasan yang saya dapat ini tidak seperti perkara lain yang pernah saya lakukan," kongsinya.



Lantas, kepuasan itu menarik beliau kembali menceburi bidang tersebut.



Cik Nur Atika meraih minat baru dalam mengendalikan pembedahan dan anestesia kepada haiwan.



Semangat baru itu mendorong beliau melanjutkan pengajiannya di Universiti Queensland di Australia selama setahun.



Pada 2016, Cik Nur Atika menggenggam segulung ijazah sarjana muda dalam teknologi rawatan haiwan.



Sekembalinya di tanah air, beliau bertugas di sebuah pusat rawatan haiwan selama setahun sambil membimbing pelajar di alma maternya, Politeknik Temasek, secara sukarela.



Beliau kini berkhidmat di klinik Barkway Pet Health sejak hampir tiga tahun lalu.



Memegang jawatan ketua juruteknik veterinar, beliau bertanggungjawab membantu doktor haiwan mengendalikan rawatan di klinik tersebut.



Ini termasuk mengawasi anestesia dalam haiwan semasa pembedahan dan pengembirian kucing serta pembedahan gigi haiwan.



Cik Nur Atika turut mengongsi cabaran yang beliau tempuh sepanjang bekerjaya dalam bidang itu.



Antaranya, beliau sering mendapat teguran negatif oleh orang ramai apabila mereka mendapat tahu kerjanya perlu berurusan dengan anjing.



Bagi elakkan dirinya daripada terkena air liur anjing, beliau selalu menggunakan sarung tangan sebelum memegang haiwan itu.



Jika terkena, beliau pastikan tangannya dicuci dengan sabun sertu.



"Saya tahu orang Islam dilarang memegang anjing tapi saya percaya ia satu tugas murni untuk menyelamat nyawa mereka yang juga ciptaan Tuhan," katanya yang membesar dengan memelihara katak dan tuntung (terrapin).



Semasa ditanya Berita Minggu akan kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika bertugas di klinik haiwan, Cik Nur Atika menambah:



"Kematian haiwan yang saya rawat adalah memori yang paling dekat dengan saya. Ia bukan hanya memberi makna kepada pekerjaan yang saya lakukan malah menjadikan inspirasi dengan terus asah kemahiran saya dalam bidang ini."




"Kematian haiwan yang saya rawat adalah memori yang paling dekat dengan saya. Ia bukan hanya memberi makna kepada pekerjaan yang saya lakukan malah menjadikannya inspirasi dengan terus asah kemahiran saya dalam bidang ini."
- Cik Nur Atika Ramadzan, semasa ditanya akan kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika bertugas di klinik haiwan.




LALUAN KERJAYA BIDANG VETERINAR



Menurut maklumat daripada laman Persatuan Veterinar Singapura (SVA), terdapat beberapa laluan kerjaya bagi mereka yang berminat dalam bidang veterinar.



  • Laluan latihan klinikal:

Memegang jawatan pakar bedah veterinar, merawat haiwan di pertubuhan ehwal haiwan seperti Zoo Singapura dan Underwater World atau di klinik swasta yang mengendalikan haiwan peliharaan seperti kucing, anjing dan arnab.



  • Laluan Persatuan Veterinar Singapura (AVA):

Doktor haiwan boleh memilih bertugas bersama AVA yang menawarkan pelbagai jawatan termasuk menjaga kesihatan haiwan dan menguatkuasakan piawaian kebajikan haiwan.



  • Laluan kajian dan akademik:

Doktor haiwan boleh bekerja di kemudahan penyelidikan tempatan atau syarikat berbilang negara (MNC) yang membuat dan membekalkan produk makanan haiwan peliharaan atau vaksin haiwan.




YURAN TUISYEN BAGI WARGA SINGAPURA



Yuran tuisyen bagi warganegara Singapura yang mengambil kursus veterinar ialah:



  • Kursus tiga tahun bagi Diploma dalam Biosains Veterinar di Politeknik Ngee Ann atau Diploma dalam Teknologi Veterinar di Politeknik Temasek - $2,900 setiap tahun.

  • Program lima setengah tahun Sarjana Bersama (CDP) menggabungkan Sarjana Muda dalam Sains Hayat Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Doktor Perubatan Veterinar yang ditawarkan oleh Fakulti Veterinar dan Sains Pertanian, Universiti Melbourne, Australia:

- $8,200 setiap tahun bagi tiga semester pertama di NUS



- $28,352 setiap tahun bagi tahun pertama di Universiti Melbourne



- $22,440 setiap tahun bagi tiga tahun terakhir di Universiti Melbourne.




KOS BELAJAR DI AUSTRALIA



Universiti luar negara merupakan pilihan lain bagi mereka yang ingin melanjutkan pengajian.



Yuran tuisyen kursus setahun Sarjana Muda Teknologi Veterinar bagi mahasiswa antarabangsa kemasukan tahun akademik 2019 di Universiti Queensland di Australia ialah $10,543.



Yuran ini berdasarkan bayaran untuk setahun dan tidak termasuk kos penginapan, pengangkutan dan perbelanjaan hidup harian.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >