TIDAK pasti tentang masa depannya apabila memulakan perjalanannya sebagai seorang pelajar di politeknik, Cik Fariah Siham memilih untuk meneruskannya dengan fikiran terbuka.
Melibatkan diri dalam beberapa kelab dan inisiatif-insiatif sukarelawan di politeknik, Cik Fariah yang berusia 20 tahun, telah menemui semangat untuk menyumbangkan masanya kepada masyarakat dan memperkasakan mereka yang memerlukan.
Menurut pelajar dalam bidang perniagaan di Politeknik Republic (RP) itu, politeknik itu bukan sahaja membolehkan beliau cemerlang dari segi akademik tetapi juga memberi peluang baginya untuk meneroka minat peribadinya dalam bidang sukarelawan.
Giat melibatkan diri melakukan kerja-kerja kemasyarakatan, Cik Fariah berkata beliau dapat rasakan kepuasan apabila melakukannya.
Tahun lalu, pelajar diploma perniagaan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif yang dianjurkan bersama politeknik lain di sini untuk mengajar pekerja migran di dormitori bahasa Inggeris sepanjang April hingga Julai tahun lalu.
"Ketika terdapat beberapa sekatan Covid-19, kami mendapati bahwa ramai antara mereka 'terperangkap' dalam bilik mereka.
"Jadi apa yang kami lakukan adalah untuk mempelajari keperluan mereka dan membantu mereka sebanyak mungkin dari luar. Antara perkara yang mereka ingin lakukan adalah belajar bahasa Inggeris," kata beliau yang mengendali 70 sukarelawan bersama pasukannya.
Dengan kerjasama Hab Sukarelawan Woodlands Care Corner pula, beliau dan pasukannya berjaya mengumpul lebih daripada 50 sukarelawan untuk mengadakan beberapa aktiviti kepada penduduk di kawasan itu.
Ini termasuk aktiviti seni keluarga, ceramah untuk anak remaja dan juga sesi perbualan dalam talian.
Malah, usaha sukarela anak muda ini tidak terhad kepada mereka di Singapura.
Pada hujung tahun 2020, beliau mengambil bahagian dalam Program Ekspedisi Belia (YEP-GO) bersama Youth Corps Singapura di mana mereka membimbing 10 individu belia berisiko dari Filipina, Mandaue.
Menceritakan pengalamannya, Cik Fariah berkata beliau dan pasukannya mendekati belia-belia ini melalui aktiviti dalam talian selama jam seminggu sekali selama 10 minggu.
"Tujuan kami dalam program ini adalah untuk memastikan remaja-remaja ini mendapat motivasi untuk melakukan sesuatu meskipun mereka tidak berada di sekolah.
"Melalui program ini kami dapat memperkasakan mereka melalui aktiviti seperti bagaimana untuk menggunakan peralatan digital seperti Canva serta bagaimana untuk masak supaya mereka dapat berdikari pada masa akan datang," ujarnya yang menerima pengiktirafan seperti Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA), Anugerah Republik dan Anugerah Pelajar Cemerlang Serba Boleh (OARS) Barat Laut 2021 atas sumbangannya kepada masyarakat.
Mengimbangi masanya untuk sekolah dan menjadi sukarelawan, anak sulung itu berkata ia sudah tentu mencabar.
Namun begitu, beliau berkata ia banyak membantu dari segi memilih minat kerjayanya pada masa akan datang.
"Pengalaman ini telah membolehkan saya meneroka minat saya untuk membantu orang ramai serta memberi manfaat kepada orang lain.
"Mungkin usaha-usaha ini kelihatan kecil bagi sesetengah orang tetapi saya merasakan perkara yang kecil itu kadangkala memberi impak terbesar bukan sahaja kepada mereka yang menerima bantuan tetapi juga diri saya sendiri.
"Saya hanya berharap pada masa akan datang saya dapat terus memberikan masa dan usaha saya untuk membantu mereka yang memerlukan," kata Cik Fariah yang berharap melanjutkan pelajarannya dalam bidang kerja sosial di universiti.