Minat mendalam dorong buka kafe 'pisang keju'

APABILA Cik Haslinah Hashim bercuti ke Batam bersama suaminya lima tahun lalu, mereka menemui satu snek unik yang dijual di sana iaitu pisang goreng dengan parutan keju dan coklat urai ditabur di atasnya.

Cik Haslinah, 31 tahun, sangat menyukainya sehingga sanggup ambil cuti daripada kerja untuk ke Batam dan pernah ke sana tiga kali dalam masa seminggu semata-mata kerana ingin makan hidangan yang dinamakan pisang keju itu.

"Tapi saya terfikir juga... tiket feri untuk ke Batam bukannya murah, jadi saya cari peniaga yang menjual pisang keju itu di media sosial.

"Saya menemukan seorang penjual dari Johor yang sanggup menghantar pesanan pisang keju saya ke Singapura dan saya ambil daripadanya di Woodlands.

"Namun, rasanya pula tidak sama dengan pisang keju dari Batam itu. Jadi, saya dan suami tetap kembali ke Batam kalau ingin makan pisang keju," kata ibu tiga anak itu.

Akhirnya, minat pasangan itu mendorong suami Cik Haslinah, Encik Muhammad Hafiz Abdul Rahman, 33 tahun, memikirkan idea untuk menjual pisang keju itu di Singapura.

Cik Haslinah akur beliau tidak bersetuju pada mulanya kerana bekerja sepenuh masa ketika itu tetapi akhirnya bersetuju menjual pisang keju dari rumah secara kecilkecilan.

Pasangan itu mengambil masa dua minggu untuk mencuba pelbagai resipi sebelum akhirnya menemukan resipi terbaik yang dapat memastikan pisang keju mereka kekal rangup selepas beberapa jam.

Selepas itu, perniagaan The Original Pisang Keju pun 'dilahirkan' dan mereka mengambil pesanan daripada teman rapat dan teman kerja.

Kini, pasangan itu bukan sahaja mendapat sambutan baik daripada orang ramai yang memesan pisang keju mereka menerusi media sosial bahkan daripada segenap lapisan masyarakat - termasuk masyarakat bukan Melayu - di pameran serta pesta yang mereka sertai di Singapore Expo dan sebagainya.

Cik Haslinah juga telah berhenti kerja sebagai eksekutif khidmat pelanggan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan pisang keju itu.

Malah, beliau dan suaminya bakal membuka kafe pertama mereka di East Village bulan depan.

Hari ini dan esok, orang ramai boleh menikmati pisang keju oleh The Original Pisang Keju di karnival Terokai Asean yang berlangsung di Ficus Green di Taman Bishan-Ang Mo Kio.

The Original Pisang Keju merupakan antara gerai makanan yang menawarkan pelbagai jenis hidangan dari negara anggota Asean.

"Oleh kerana kita tinggal di Singapura, mudahlah untuk kita semua bercuti ke negara jiran seperti Indonesia serta Malaysia dan kita dapat cuba makanan tempatan di sana.

"Menerusi makanan juga, saya rasa ia dapat membuat orang-orang yang saling tidak mengenali mula bercakap dengan satu sama lain, menjalin persahabatan dan meningkatkan persefahaman walau dari mana pun asal mereka.

"Bagi saya sendiri, saya tidak jangka dapat memulakan perniagaan pisang keju pun sebelum ini tetapi kini bakal ada kafe sendiri dan saya serta suami mempunyai cita-cita mengembangkannya ke negara lain seperti Filipina dan Dubai," kata Cik Haslinah.


KARNIVAL TEROKAI ASEAN

Tarikh dan waktu:
Semalam, 12 Januari (6 petang - 10 malam), Sabtu, 13 Januari (11 pagi - 9 malam), Ahad, 14 Januari (11 pagi - 7 malam)

Tempat: Ficus Green, Taman Bishan-Ang Mo Kio Masuk percuma.

Dapatkan percuma:
- Beg cenderahati
- Patung Paddie, bagi tempoh yang terhad

Nikmati: - Pelbagai persembahan (termasuk oleh Dick Lee, The Sam Willows dan Tay Kewei) - Kegiatan kraf tangan seperti membuat gelang tangan, layang-layang dan lain-lain lagi - Permainan seperti Bouncy Castle dan Viking Ship

Jamu selera:
Di lebih 30 gerai yang menyajikan makanan hipster dan makanan dari pelbagai negara anggota Asean.

Untuk maklumat lanjut tentang acara lungsuri laman Facebook di http://bit.ly/2D65C4Q.

Untuk maklumat lanjut tentang Asean 2018, lungsuri laman Facebook rasmi Asean 2018 di http://bit.ly/2Fb8U7z.

Waktu Solat

Subuh
5:44
Syuruk
7:06
Zuhur
1:13
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
3 HR PSI: 72
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.