Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Minat silat cetus ilham buka perniagaan buat tanjak

Jul 08, 2018 | 05:30 AM



APABILA sebut tentang tanjak pasti ramai terbayang pendekar, sultan ataupun pengantin lelaki dalam upacara perkahwinan Melayu.



Namun, tanggapan bahawa tanjak tidak layak dipakai oleh 'orang biasa' merupakan sesuatu yang ingin diubah Encik Muhammad Fairuz Zazali.



Pemuda berusia 27 tahun itu telah memulakan perniagaan tanjak buatan tangannya sejak Ogos tahun lalu.



Melalui Tanjak Mahkota SG, yang kini beroperasi dalam talian melalui ruang media sosial, beliau ingin menyebarkan mesej bahawa tanjak memang sesuai dipakai oleh semua dan tiada pada masa-masa tertentu yang ditetapkan.



Menurut Encik Fairuz, walaupun perniagaannya bermula agak 'lemah' dan kurang sambutan, tempahan tanjak buatannya meningkat dari masa ke masa terutama sekali sebelum Hari Raya tahun ini.



Beliau terpaksa memperuntukkan masa yang lebih banyak untuk menyempurnakan lebih 50 tempahan tanjak untuk Hari Raya.



Tanjak yang dijualnya biasanya berharga antara $30 dengan $70. Harganya lebih tinggi jika kain songket bermutu tinggi digunakan, adakalanya mencecah lebih $100.



Tambahnya, trend tersebut dilihat kebelakangan ini di Singapura.



"Memang trend itu tidak begitu ketara tetapi terdapat lebih ramai keluarga yang mula memperkenalkan tanjak dan busana Melayu kepada keluarga dan anak mereka semasa Hari Raya.



"Ini menunjukkan bahawa terdapat minat yang meningkat terhadap budaya Melayu dan masyarakat Melayu ingin menjejak semula asal mereka," katanya.



Disebabkan masih bekerja sepenuh masa sebagai pemandu penghantaran, Encik Fairuz boleh mengambil masa tiga hari hingga seminggu untuk melipat satu tanjak.



Tanjak yang siap dilipat juga disediakan Encik Fairuz.



Menyentuh tentang tempahan yang diterimanya, beliau berkata bahawa biasanya mereka yang baru ingin mencuba akan mendapatkan tanjak yang lebih kecil dan apabila sudah biasa baru mereka akan menempah tanjak yang lebih tinggi.



Pendedahan Encik Fairuz kepada kesenian Melayu, terutamanya silat, mencetuskan minatnya untuk mendalami pengetahuan tentang budaya Melayu, terutama sekali tanjak.



Sejak itu, beliau sering menempah tanjak daripada seorang pembuat tanjak di Kuala Lumpur dan lama-kelamaan timbul minat mahu mempelajari cara membuat tanjak itu sendiri.



Setiap bulan selama sekitar dua tahun, Encik Fairuz akan ke Kuala Lumpur untuk belajar cara melipat tanjak daripada seorang guru di sana yang merupakan pembuat tanjak yang dilangganinya sebelum itu.



"Terdapat lebih 100 cara melipat tanjak dan setiap daripadanya mempunyai maksud tertentu di sebaliknya.



"Setiap simpul, setiap lipatan ada falsafahnya sendiri dan melambangkan sesuatu. Ia juga melambangkan orang yang memakainya," katanya.



Encik Fairuz mengakui pernah diejek dan ditertawakan kerana memakai busana tradisional Melayu penuh apabila keluar.



"Memang ada yang pelik apabila mereka melihat pakaian saya. Ada yang cakap saya gila pakai macam pendekar.



"Apabila saya terima soalan seperti ini, saya akan terangkan kepada mereka bahawa pakaian seperti ini bukan hanya untuk pendekar atau sultan atau pengantin saja," ujarnya.



Melalui pakaiannya dan juga perniagaannya, Encik Fairuz berharap dapat mempengaruhi orang lain agar turut mendalami budaya Melayu.



"Harapan saya adalah supaya orang Melayu tidak berasa segan mengenakan busana tradisional mereka.



"Busana tradisional Melayu ini semakin pupus, orang pun semakin tidak kenal warisan Melayu kita.



"Kalau kita boleh beli pakaian formal buatan orang Barat dengan harga yang tinggi, kita sebenarnya lupa bahawa masyarakat Melayu mempunyai pakaian tertentu juga untuk acara berbeza."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >