INOVASI menjimatkan Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) $164 juta tahun ini, 16 peratus lebih tinggi daripada tahun lalu.
Menteri Kedua Pertahanan Ong Ye Kung menekankan kepentingan inovasi seperti itu, dengan menyebut cabaran yang dihadapi Singapura dalam ekonomi global, seperti perubahan iklim dan pengganasan.
Sambil mengakui Pemerintah kurang ruang untuk gagal, beliau berkata perlu ada "kotak pasir" di mana ada ruang untuk menguji idea inovatif dan "gagal cepat, gagal kecil, dan gagal murah".
Encik Ong berkata demikian dalam majlis penyampaian anugerah Hari Produktiviti dan Inovasi dalam Usaha Harian (Pride) 2016 Mindef, di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands (MBS) pada Jumaat (4 Nov).
Gerankan Pride, yang dalam tahun ke-35, menggalak budaya kecemerlangan pertubuhan, inovasi dan produktiviti di Mindef dan SAF. Tema tahun ini ialah 'Pertahanan Bijak: inovasi, sains dan teknologi'.
Sebanyak 184 anugerah bagi 16 kategori disampaikan kepada individu, kumpulan dan unit bagi projek inovatif cemerlang. Sebahagian daripada projek itu dipamer dalam Pameran SGDefence, kemuncak sambutan ulang tahun ke-50 Masyarakat Teknologi Pertahanan.
Encik Ong melancarkan dan melawat pameran di Dewan A Pusat Ekspo dan Konvensyen MBS, yang berlangsung dari Jumaat (4 Nov) hingga Selasa (8 Nov), dan dibuka percuma kepada orang ramai dari 11 pagi hiingga 8 malam setiap hari.