LATIHAN kecergasan di samping Ujian Kecekapan Jasmani Perseorangan (IPPT) secara langsung bagi anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) telah ditangguhkan bagi tempoh Covid-19 Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat), umum Kementerian Pertahanan (Mindef) semalam.
Latihan di kem juga akan ditangguhkan sehingga 18 Ogos, kecuali buat sesi latihan yang penting kepada operasi, tambah kementerian itu dalam satu catatan Facebook.
Pusat Latihan Kecergasan Jasmani (FCC) pula akan ditutup dan pelaksanaan IPPT dan Latihan Peningkatan Kecergasan NS (FIT) di FCC, gimnasium Safra dan lokasi awam akan ditangguhkan, katanya.
Namun sesi NS Fit@Home akan kekal disediakan dengan slot tambahan.
Program itu, yang dilancarkan minggu lalu, membolehkan NSmen melakukan senaman maya dari rumah untuk memenuhi keperluan kecergasan tahunan mereka.
NSmen yang jadual IPPT mereka ditutup semasa tempoh penangguhan ini akan diberi pengecualian satu kali sahaja daripada syarat IPPT tahunan mereka, kata Mindef.
Acara berskala besar juga akan dibatalkan, ditangguh atau dikurangkan skalanya, tambah kementerian itu.
Tetapi kegiatan penting bagi pembangunan unit operasi akan diteruskan, dengan langkah pengurusan selamat yang ketat.
Ini termasuk sekolah latihan seperti Sekolah Pegawai Kadet (OCS); Sekolah Kadet Pakar (SCS) dan Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC).
Singapura telah mengetatkan sekatan pergerakan selama sebulan mulai kelmarin menyusuli munculnya kelompok besar Covid-19 yang dikaitkan dengan Pelabuhan Perikanan Jurong, yang telah merebak ke lebih 40 pasar basah dan pusat makanan di merata negara.
Sekatan serupa ke atas NSmen dilaksanakan semasa Singapura kali terakhir memasuki Fasa Kedua (Kewaspadaan Dipertingkat) dari 16 Mei hingga 13 Jun.