KERANA teruja ingin mendapatkan dua jam Rolex untuk dijual bagi meraih keuntungan, seorang pengumpul jam tangan, Max (bukan nama sebenar), membayar $280,000 kepada seorang lelaki dan seorang wanita untuk mendapatkan jam tangan tersebut bersama seutas lagi jam tangan Patek Philippe.
Beliau berbuat demikian sebelum menerima jam tangan itu.
Apabila pasangan tersebut tidak dapat dihubungi, dia menyedari wangnya itu ‘hangus’ malahan Max bukan satu-satunya mangsa penipuan ini.
Akhbar The Straits Times (ST) difahamkan laporan polis telah dibuat terhadap pasangan tersebut yang tidak mengirimkan barangan mewah, kebanyakannya jam tangan, bernilai sekurang-kurangnya $32 juta.
Seramai 10 mangsa, antara usia 24 hingga 52 tahun ditemui ST. Mereka termasuk seorang cef, seorang pereka hias dalaman, seorang pengurus pengiklanan dan seorang pesara.
Kebanyakan daripada mereka menyatakan mereka mempercayai pasangan itu kerana perniagaan mereka didaftarkan sebagai peniaga terkawal dan mempunyai sijil daripada Kementerian Undang-Undang (MinLaw) sebagai pengesahan.
Dalam jawapannya, jurucakap MinLaw berkata perniagaan yang dikenali sebagai Tradenation itu didaftar sebagai peniaga batu dan besi berharga pada 2 April.
Menurut jurucakap itu lagi, peniaga berdaftar dikawal selia oleh Registrar Peniaga Terkawal hanya untuk urusan anti pengubahan wang haram dan bagi menangani urusan pembiayaan pengganasan.
Tradenation mengirimkan permohonan pendaftarannya kepada MinLaw kerana ia sedang menjalankan urus niaga terkawal dan pada waktu pendaftaran, tiada sebab untuk menolak pendaftaran itu, jelas MinLaw lagi.
“MinLaw telah menggantung pendaftaran Tradenation kerana siasatan polis yang berlarutan ini. Memandangkan siasatan polis masih diteruskan, kami tidak dapat mengulas lebih lanjut.
“Jika Tradenation didapati bersalah atas perbuatannya menyusuli siasatan polis, MinLaw akan menamatkan pendaftaran lesen Tradenation,” jelas jruucakap itu.
Max, 48 tahun, yang bekerja di dalam sektor pengeluaran, berkata beliau menyerahkan kebanyakan simpanan hayatnya kepada pasangan ini pada April.
“Saya belum dapat tidur nyenyak dalam masa dua bulan ini. Saya hanya kerap memikirkan betapa bodohnya saya untuk mempercayai mereka. Isteri saya masih tidak tahu tentang wang saya yang lenyap itu. Bagaimana dapat saya memberitahunya?” kata Max.
Pembelian pertamanya berupa jam tangan Rolex Daytona pada harga $72,000 dengan pasangan itu adalah sekitar November lalu.
Dalam tempoh tiga bulan, lagi lapan pembelian dibuat. Max mula menyedari dirinya tertipu apabila jam yang ditempah pada April tidak sampai. Pasangan itu menyalahkan kelewatan dalam isu rantaian bekalan serta mengelak daripada menjawab panggilannya.
Beliau tahu dirinya ditipu apabila beliau disertakan dalam kumpulan sembang di platform pesanan Telegram dengan lagi 140 pelanggan yang marahkan pasangan itu kerana tidak menerima barangan yang ditempah. Antara tempahan mereka termasuk beg Hermes Birkin dan Kelly serta jam Rolex dan Patek Philippe.
Kumpulan sembang ini dihasilkan pasangan itu pada Jun untuk memberitahu pelanggan jika ada keterlewatan kiriman.
Mangsa memberitahu akhbar ST, pasangan itu mengancam mereka dalam saluran sembang tersebut jika mereka membuat sebarang laporan polis dengan menyatakan mereka tidak akan menerima barangan berkenaan.
Dengan nada sebak, Max berkata: "Saya rasa dikhianati. Saya bercuti dengan isteri dan anak-anak bulan lalu tetapi saya terpaksa menutupi segalanya seakan-akan saya tiada masalah apa-apa kerana saya tidak dapat memberitahu keluarga saya mengenai perkara ini," jelasnya.