Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Misi bakal misi

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Misi bakal misi

Jan 08, 2022 | 05:30 AM

Walau pandemik Covid-19 telah menyebabkan tekanan kepada sektor penjagaan kesihatan setempat, terdapat pelajar baru dalam institut pengajian tinggi yang ingin terus menceburi bidang itu. Malah, pengorbanan dan sikap bertimbang rasa karyawan dalam sektor penjagaan kesihatan itu memberi inspirasi kepada beberapa pelajar yang menyertai jurusan kejururawatan. BERITA HARIAN mewawancara dua pelajar Politeknik Nanyang yang menceritakan aspirasi dan inspirasi mereka dalam bidang tersebut serta bagaimana ia mempersiapkan mereka.

Dek kerap ulang-alik temani ayah ke hospital...

MESKIPUN meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan GCE peringkat 'O' dan hampir semua laluan melanjutkan pelajaran terbuka kepadanya, namun, Cik Julia Ardhana, tetap ingin menceburi bidang kejururawatan.

Menurut pelajar tahun pertama Politeknik Nanyang itu, kerjaya sebagai jururawat memang menjadi impiannya sejak menyaksikan bagaimana karyawan bidang perubatan merawat ayahnya yang mula didiagnos menghidapi kencing manis pada 2013.

Dalam tiga hingga lima kali seminggu, Cik Julia yang menemani ayahnya menjalani dialisis, melihat bagaimana jururawat menjaga ayahnya dengan baik, sopan dan tenang meskipun kadangkala tugas mereka amat mencabar.

"Kadang-kadang mereka mesti bersihkan najis selepas pesakit membuang air atau perlu mengendali pesakit-pesakit yang mencabar dan kurang sopan kepada mereka.

"Namun mereka tetap tenang dan menjalankan tugas mereka secara profesional dan itu membuat saya sangat terharu," akui Cik Julia.

"Saya kira, tidak semua orang mempunyai kesabaran untuk melakukan itu," tambahnya.

Cik Julia, yang berjaya meraih lapan dan sembilan mata bagi kaedah penskoran L1r4 dan L1r5, pernah berhasrat untuk menjadi doktor.

"Namun seruan untuk menjadi jururawat itu lebih menarik bagi dirinya.

"Sebab tugas seorang jururawat itu (membolehkan) saya lebih dekat dengan pesakit.

"Ia merupakan tugas yang mencabar kami untuk memberikan layanan yang baik kepada mereka. Dan ia sesuatu yang menarik buat saya."

Ini ditambah pula dengan pengalaman peribadi yang dilaluinya.

Cik Julia menyifatkan seluruh hidup remajanya sebagai "dalam hospital" memandangkan beliau perlu sering menemani ayahnya untuk menerima pelbagai rawatan berkaitan penyakit kencing manis yang dihidapinya.

Dengan itu, bidang penjagaan kesihatan khususnya kejururawatan merupakan pilihan yang jelas.

Menyentuh tentang latihan yang diterima, Cik Julia berkata, meskipun tempoh latihan klinikal mereka ditunda hingga Februari ekoran Covid-19, pensyarah-pensyarah di Politeknik Nanyang turut memberi senario yang realistik apabila menjalankan sesi praktikal di makmal.

Setiap pelajar perlu memberi layanan kepada teman sekursus mereka yang memainkan peranan sebagai pesakit, lengkap dengan diagnosis penyakit mereka, senarai perubatan, latar belakang keluarga dan sebagainya - sama seperti di hospital.

"Mereka akan memberi arahan kepada teman-teman kami yang perlu menjadi pesakit, dan kami harus memberi khidmat berdasarkan keperluan mereka itu.

"Tapi berbanding mereka yang bertindak berdasarkan arahan guru, kami pula tidak diberi arahan yang tertentu. Jadi kamu harus fikir bagaimana untuk mengendali pesakit dan keadaan-keadaan yang mencabar.

"Meskipun latihan klinikal kami ditunda, latihan yang kami terima di sekolah sudah amat realistik dan tidak berkurangan berbanding keadaan sebenar di hospital.

Cik Julia menambah, jurusan itu adalah jurusan yang beliau akan teruskan hingga ke peringkat ijazah kelak.

Beliau juga tidak khuatir dengan cabaran yang menantinya apabila perlu turun padang nanti.

"Semua orang berkata, bidang kejururawatan mencabar. Tapi niat saya melangkaui kekhuatiran itu.

"Tugas sebagai jururawat penting dan nyawa seseorang itu bergantung kepada rawatan yang tepat dan lengkap yang diterima oleh pesakit - tak boleh main-main dengan nyawa orang.

"Jadi kerjanya, sama dengan kerja lain tetap mencabar. Cuma sama ada kami ingin mengatasinya atau tidak itulah soalan yang perlu kami fikirkan," tambahnya.


"Semua orang berkata, bidang kejururawatan mencabar. Tapi niat saya melangkaui kekhuatiran itu.
Tugas sebagai jururawat penting dan nyawa seseorang bergantung kepada rawatan yang tepat dan lengkap yang diterima oleh pesakit - tak boleh main-main dengan nyawa orang."

- Cik Julia Ardhana.


Ikut jejak adik jadi jururawat

APABILA Encik Abdul Muhaimin Abdul Wasip melihat bagaimana adik perempuannya mengatasi tekanan dan bangkit semula sebagai seorang jururawat di tengah-tengah pandemik ini, beliau mendapat cetusan inspirasi untuk turut menceburi bidang itu di politeknik.

Pelajar tahun pertama Politeknik Nanyang dalam bidang kejururawatan itu berkata beliau tidak khuatir dengan tekanan yang dihadapi jururawat dalam sektor penjagaan kesihatan sekarang meskipun banyak negara termasuk Singapura masih bergelut dengan gelombang Covid19.

Sebaliknya, keputusan beliau mahu menceburi bidang kejururawatan itu didorong oleh sikap mahu membantu, sentiasa bertimbang rasa dan meletakkan keperluan orang lain sebelum diri sendiri.

Anak sulung dalam keluarga dua beradik itu berkata hatinya tersentuh apabila mendengar cerita adik perempuannya yang bertugas sebagai jururawat di hospital.

Encik Abdul Muhaimin, 22 tahun, berkata, beliau sering melihat adiknya itu letih apabila pulang ke rumah empat bilik mereka di Tampines, namun tetap akan mempersiapkan diri menyambung tugas untuk syif seterusnya.

"Satu perkataan yang boleh saya kaitkan dengannya adalah dedikasi, cerita Encik Abdul Muhaimin yang setahun lebih tua daripada adiknya itu.

"Beliau sering berkata, meskipun kerjanya susah, beliau tidak pernah berasa kurang puas hati terhadap kerjanya, kerana terdapat kepuasan menjadi seorang yang berbakti kepada negara dan masyarakat setiap hari.

"Walaupun beliau sering pulang lewat, adik saya itu tetap bersikap prihatin terhadap pesakitnya dan mengambil berat tentang kebajikan orang lain daripada dirinya sendiri," tambah Encik Abdul Muhaimin ketika diwawancara Berita Harian baru-baru ini.

Sebelum memasuki politeknik, Encik Abdul Muhaimin bekerja secara sambilan dalam pelbagai bidang dan juga berjaya mendapat Diploma Pengurusan Perniagaan dari Kaplan sebelum menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

Semasa berada dalam NS, Encik Abdul Muhaimin pernah dikerah di barisan depan Covid-19 untuk membantu usaha menjejak kontak anggota-anggota yang jatuh sakit.

Tugasnya ketika itu adalah untuk menghubungi anggota tersebut bagi membuat pemeriksaan sama ada mereka berada di rumah.

Pada masa itu juga adiknya lulus dari Institut Pendidikan Teknikal dan ia sekali gus mendorong Encik Abdul Muhaimin untuk mengikuti jejaknya.

Apatah lagi semasa pandemik ini dengan beban lebih dirasakan oleh sistem kesihatan setempat maka lebih banyak bantuan diperlukan.

Encik Abdul Muhaimin bercerita, pernah juga adiknya mengadu keletihan dan sangat inginkan waktu rehat.

"Namun saya kira ini sama seperti pekerjaan lain, ada masa senang, ada masa susah," katanya.

Beliau akur setiap pekerjaan pasti ada cabarannya.

"Pandemik ini tidaklah membuat saya rasa takut terhadap pekerjaan dalam bidang penjagaan kesihatan," akui Encik Abdul Muhaimin.

"Sebaliknya ia menunjukkan kepada kita sikap baik yang boleh dicontohi daripada mereka yang bekerja di barisan depan," tambahnya.

Setelah satu semester mengikuti pengajian, Encik Abdul Muhaimin kian dapat rasai tarikan bidang itu.

Cara pensyarah mengendalikan kelas juga menarik kerana mereka sering bercerita tentang pengalaman lucu semasa mengendali pesakit.

"Apa yang saya dapat daripada mereka adalah, bidang kejururawatan ini menarik dan bukan sekadar untuk mendapat markah tinggi sahaja.

"Yang lebih penting adalah sikap kita untuk memberikan khidmat terbaik," katanya.


"Pandemik ini tidaklah membuat saya rasa takut terhadap pekerjaan dalam bidang penjagaan kesihatan.
Sebaliknya ia menunjukkan kepada kita sikap baik yang boleh dicontohi daripada mereka yang bekerja di barisan depan...
Saya kira ini sama seperti pekerjaan lain, ada masa senang, ada masa susah."

- Encik Abdul Muhaimin Abdul Wasip.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3