Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: WIRA TANPA SANJUNGAN

Misi beri makanan percuma buat semua 'beralih' ke aplikasi mudah alih

Pengasas badan amal, Free Food For All, manfaatkan teknologi untuk cakupi lebih ramai penerima bantuan
Sep 23, 2021 | 05:30 AM



SEJAK kebelakangan ini, pengasas badan amal Free Food For All (FFFA) atau Makanan Percuma untuk Semua, Encik Nizar Mohd Shariff, sibuk 'bercucuk tanam' sayur-sayuran seperti kailan dan cendawan di bilik tidurnya melalui sebuah kit pertanian kendiri yang diborongnya bulan lalu.



Kegiatan itu dilakukannya untuk menghabiskan masa lapang kerana kerap bertugas dari rumah, lebih-lebih lagi setelah jari-jari kaki kanannya diamputasi Jun tahun lalu ekoran penyakit kencing manis.



Namun, melebihi itu, ia juga dijadikannya sebuah 'eksperimen'.



Ini kerana beliau, yang sebelum ini merupakan karyawan syarikat perkapalan, sebagai merancang memanfaatkan kit tersebut bagi kursus-kursus pertanian dari rumah yang akan ditawar menerusi sebuah aplikasi FFFA baru.



Menerusi aplikasi itu, pengguna boleh menerima mata kredit selepas menyelesaikan kursus dan kemudian menebusnya untuk mendapat hadiah seperti baucar makanan, barang keperluan dapur, baucar runcit dan sebagainya.



Menurut Encik Nizar, aplikasi itu yang kini berada di tahap pengujian terakhir, dijangka dilancar pertengahan atau hujung Oktober.



Beliau menjelaskan kursus-kursus yang ditawar dalam aplikasi tersebut - termasuk kursus membina keyakinan psikososial, pertanian di rumah, kemahiran dalam teknologi, perkomputeran dan lain-lain lagi - disediakan bagi memperkasa pengguna, termasuk golongan susah yang merupakan penerima bantuan FFFA selama ini.



"Selepas mereka selesai kursus-kursus itu, mereka akan mendapat beberapa kredit atau points, yang kemudian boleh ditebus menerusi wadah e-kedai dalam aplikasi itu untuk mendapatkan barang keperluan, barang pasar, baucar runcit dan F&B, dan pada masa yang akan datang, mungkin kami boleh tawar baucar tempahan hotel dan sebagainya," kata penerima anugerah Sukarelawan Presiden dan Dermawan (PVPA) itu.



Ketika ditemui di rumahnya, Encik Nizar, 51 tahun, yang sudah bersara dan kini mengendalikan FFFA sepenuh masa berkata beliau mendapat inspirasi membangunkan aplikasi yang menelan belanja sekitar $18,000 itu daripada pengalamannya menawarkan makanan percuma kepada golongan penduduk rumah flat sewa.



Beliau berkata, selain mengagihkan makanan atau barang keperluan setiap minggu atau bulan, ia juga bermanfaat jika ada sebuah wadah yang masih membolehkan mereka menerima maklumat tentang pemberian makanan percuma namun juga sebuah platform yang membolehkan mereka meraih manfaat daripadanya - iaitu dengan meraih ilmu atau kemahiran baru.



"Terutamanya bagi golongan belia, saya yakin ramai penduduk rumah flat sewa itu inginkan anak-anak mereka keluar daripada sekitaran tersebut dan membina hidup di rumah biasa.



"Jadi saya ingin menawarkan sebuah sistem yang memberi insentif bagi mereka mempelajari kemahiran baru dan tidak mengharapkan bantuan sahaja," kata Encik Nizar, yang juga calon Tokoh Singapura akhbar The Straits Times pada 2019.



Misalnya, kit pertanian kendiri herba dan sayur-sayuran yang disediakan jika pengguna menyertai kursus menerusi aplikasi itu mengambil kira-kira dua hingga tiga minggu untuk tumbuh sepenuhnya, dan siap untuk dimasak dan dimakan.



Kit tersebut yang menggunakan teknologi hidrofonik juga tidak terlalu besar dan boleh diletak di atas meja kecil dan sesuai untuk semua isi rumah.



Kit lain seperti kit menanam cendawan tiram pula mengambil sekitar 11 hari untuk siap dipetik.



Setiap kit itu berupaya menghasilkan jumlah sayur atau cendawan yang cukup bagi sekitar empat orang, kata bapa empat anak itu.



Beliau, dan tiga anaknya serta anak menantu perempuannya, tinggal sebumbung di rumah beliau di Pasir Ris. Kesemua mereka juga 'kemaruk' bercucuk tanam.



Bagi menggalak lebih ramai orang menggunakan aplikasi itu yang akan dipasarkan menerusi media sosial seperti Tiktok, ia turut menggunakan teknologi permanian dalam talian atau 'gamification' yang menghadiahkan pengguna lebih mata kredit jika mereka memuat naik kemajuan mereka menanam sayur-sayuran itu di aplikasi tersebut dan sesudah itu menggalak pengguna menyediakan masakan dengan bahan-bahan tersebut.



"Sedang kami membangunkan aplikasi ini, kami akan mempertingkat sistem ini dengan memperkenalkan beberapa insentif yang menarik seperti pertandingan masakan menerusi media sosial yang turut membolehkan pengguna mendapatkan lebih banyak kredit," kata Encik Nizar.



Selain baucar runcit produk-produk yang boleh dibeli atau ditebus menerusi kredit itu adalah bekalan makanan segera atau ready-to-eat seperti Nasi Beriani, Nasi Tomyam dan pes-pes aneka lauk yang dihasilkan FFFA menerusi satu penghasil dari Thailand.



Makanan RTE itu juga dijangka diagih bagi golongan yang memerlukan dalam projek-projek pengagihan makanannya, kata Encik Nizar dan ia dijual dalam e-kedai aplikasi itu sebagai satu cara untuk meraih pendapatan bagi mengekalkan pertubuhan tersebut.



Menyusuli usaha FFFA yang telah menyumbang dalam kerja-kerja memenuhi keperluan makanan masyarakat tidak kira latar belakang sejak 2014, termasuk menyediakan sebuah peti ais masyarakat atau Community Fridge di Yishun Ring Road tahun lalu, Encik Nizar berkata, kerja kemasyarakatan ini bukan part-time (secara sambilan) tapi full-time (sepenuh masa).



"Dengan latar belakang saya dalam bidang perniagaan saya perlu terus berinovasi dan mencari huraian baru untuk memenuhi keperluan orang yang memerlukan sambil menggalak mereka membina kehidupan dan masa depan yang lebih baik," tambah beliau.



"Pernah satu hari saya turun padang untuk mengagihkan makanan namun kemudian seorang penduduk berkata dengan saya, 'eh kasilah kita baucar duduk dekat MBS (Hotel Marina Bay Sands) satu malam!'



"Itu membuka mata saya dan sememangnya saya yakin orang susah pun mempunyai aspirasi untuk mempertingkat taraf kehidupan mereka," katanya.



Encik Nizar menambah beliau turut bimbang setiap kali ada laporan mengenai ratusan atau ribuan makanan telah diagih kepada golongan tersebut.



"Walaupun ia sesuatu tanda baik yang mana bantuan sedang dihulur kepada mereka yang memerlukan, saya bimbang, sekiranya bilangan itu terus meningkat sahaja," katanya.



"Jadi ia penting untuk kita mencari huraian jangka panjang, agar mereka yang memerlukan itu juga mempunyai dorongan untuk keluar daripada keadaan susah dan mempertingkat kehidupan mereka supaya sekurang-kurangnya anak mereka dapat berada pada taraf kehidupan yang lebih baik."




"Dengan latar belakang saya dalam bidang perniagaan saya perlu terus berinovasi dan mencari huraian baru untuk memenuhi keperluan orang yang memerlukan sambil menggalak mereka membina kehidupan dan masa depan yang lebih baik... Jadi ia penting untuk kita mencari huraian jangka panjang, agar mereka yang memerlukan itu juga mempunyai dorongan untuk keluar daripada keadaan susah dan mempertingkat kehidupan mereka supaya sekurang-kurangnya anak mereka dapat berada pada taraf kehidupan yang lebih baik."
- Encik Nizar Mohd Shariff, pengasas badan amal Free Food For All (FFFA) atau Makanan Percuma untuk Semua.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >