Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SOS... SOS... sayangkan nyawa, dapatkan bantuan

Misi selamat nyawa, sedia sahut panggilan bagi atasi krisis

Dua pegawai di Samaritans of Singapore (SOS) kongsi pengalaman hulur bantuan; pentingnya peka terhadap keadaan sekeliling si pemanggil yang tertekan dan tunjuk empati
Sep 26, 2022 | 05:30 AM



Tahun lalu sahaja, sebanyak 378 orang dilaporkan membunuh diri mereka sendiri dan hampir sepertiga daripada jumlah itu berusia antara 10 dengan 29 tahun. Di dunia pula, dianggarkan 703,000 orang bunuh diri setiap tahun. Tarikh 10 September setiap tahun diiktiraf sebagai Hari Kesedaran Pencegahan Bunuh Diri. BERITA HARIAN meninjau bagaimana orang ramai boleh memainkan peranan untuk mencegah daripada berlakunya kes serupa terutama ke atas orang-orang tersayang di sekeliling mereka.




APA yang akan anda katakan kepada seseorang yang menelefon anda ketika dia berada di tingkat tinggi bangunan dan sedia untuk terjun tetapi minta anda memberikannya satu sebab untuk teruskan kehidupan?



Mungkin anda akan tergamam. Mungkin juga anda akan mula panik dan dicengkam perasaan takut kalau-kalau perkataan yang anda luahkan 'salah' dan menjadi pencetus untuk orang itu terjun.



Tetapi bagi dua kakitangan di Samaritans of Singapore (SOS) - atau agensi perlindungan bunuh diri - ini merupakan antara perkara biasa yang mereka lalui setiap hari.



Ketua pasukan sokongan krisis untuk panggilan hotline dan pelatih bagi CareText, Cik Aishah Mutalif, berkata beliau teringat pengalaman mencemaskan yang dihadapi pemanggil ke talian hotline SOS.



"Antaranya ada yang sudah berada di belebas tingkap atau naik di lantai yang sangat tinggi flat kerana mempunyai niat untuk terjun dan bunuh diri.



"Ada yang terus terang berkata mereka kini berada di tingkat 14 dan mahukan kami beri mereka satu sebab untuk terus hidup.



"Ada juga yang mengongsi mereka mempunyai pisau atau pil di tangan mereka. Ada juga yang menghubungi kami setelah membuat tindakan itu," ujarnya.



Oleh yang demikian, Cik Aishah, 33 tahun, yang sudah sekitar dua tahun bekerja dengan SOS, berkata adalah penting untuk kakitangan agensi itu peka terhadap keadaan sekeliling si pemanggil dan bersifat empati terhadap para pemanggil.



"Selalunya orang yang menghubungi SOS saat mereka mahu bunuh diri, sering kali mempunyai perasaan bercampur tentang sesuatu yang ingin mereka lakukan atau masih menimbangkan apa yang ingin dilakukan.



"Kami akan gunakan ketidakpastian dalam diri mereka itu untuk berusaha menarik mereka daripada bahaya dan memastikan keselamatan mereka," ujarnya.



Rakannya, Encik Imron Tukiman, 31 tahun yang merupakan sebahagian daripada anggota sokongan krisis SOS yang bertanggungjawab ke atas talian hotline dan CareText, berkata beliau akan meletakkan dirinya dalam diri pemanggil SOS agar dapat melahirkan rasa empati.



"Selalunya orang yang tertekan dalam keadaan emosi, justeru perlu untuk kita memuji mereka secara perlahan dan mengajak mereka berbual sambil meyakinkan mereka bahawa kami sedia mendengar dan membantu mereka.



"Dengan cara ini, kami berharap ia akan dapat menenangkan mereka dan mereka dalam keadaan kognitif di mana mereka boleh berfikir dengan lebih jelas. Yang paling penting ialah untuk memastikan keselamatan mereka," katanya.



Menurut laporan terkini SOS bagi tahun 2021/2022, terdapat peningkatan sebanyak 17.4 peratus kepada bilangan panggilan yang dijawab SOS.



Daripada jumlah tersebut, terdapat kenaikan sebanyak 47 peratus daripada segi jumlah panggilan yang diterima yang mempunyai risiko bunuh diri berbanding tahun sebelumnya.



Antara masalah yang dikemukakan pemanggil talian SOS termasuk kesusahan daripada segi psikologi iaitu sebanyak 40 peratus, masalah sosial (24 peratus) dan masalah berkaitan hubungan (19 peratus).



Tahun lalu, bilangan bunuh diri yang dilaporkan ialah 378 kes.



Meskipun ia merupakan kemerosotan sebanyak 16.3 peratus berbanding perangkaan 2020, apa yang membimbangkan ialah terdapat kenaikan daripada bilangan belia yang membunuh diri.



Bilangan mereka yang bunuh diri dalam kalangan belia berusia antara 10 dengan 29 tahun mencapai paras tertinggi iaitu sebanyak 112 kes pada 2021 - naik sebanyak 11 kes daripada tahun sebelumnya.



Ini merupakan sepertiga daripada bilangan keseluruhan kadar bunuh diri tahun lalu.



Kali terakhir terdapat kenaikan daripada segi bilangan kes yang dilaporkan ialah pada 2015, di mana 106 kes dicatatkan dalam kalangan mereka dalam golongan usia ini.



Melihat kepada trend sedemikian, ia merupakan antara sebab mengapa SOS memilih untuk mempelbagaikan platformnya termasuk menyediakan khidmat WhatsApp sepanjang 24 jam bagi mereka yang memerlukan bantuan.



Dipanggil CareText, khidmat ini telah dilancarkan awal bulan ini. Ia telah dimulakan secara rintis pada Julai 2020 tetapi bagi tempoh waktu yang terhad. Ia kemudian dilaksanakan sepanjang 24 jam bermula awal tahun ini sebelum dilancarkan secara rasmi.



Bagi tahun 2021/2022, sebanyak 10,308 mesej teks telah diterima dan dibalas, yang merupakan kenaikan sebanyak 120 peratus kepada bilangan mesej yang dibalas berbanding tahun 2020/2021.



Selain itu, 52 peratus mesej yang diterima dan dibalas menyuarakan hasrat atau rancangan untuk meragut nyawa sendiri.



"Kita tidak akan pandang ringan terhadap setiap panggilan atau mesej yang diterima terutama mereka yang melahirkan hasrat mahu bunuh diri. Setiap panggilan atau teks yang diterima akan ditangani dengan penuh empati dan sebaik mungkin," ujar Encik Imron lagi.



Ditanya jika setiap bantuan mendapatkan hasil yang diharapkan, Cik Aishah berkata ia bergantung dari kes ke kes.



Bagaimanapun apa yang paling penting ialah kakitangan dan relawan yang mengendalikan talian hotline dan CareText tidak terjejas.



"Kita tidak boleh mengambil alih kepedihan atau kesakitan yang dialami orang lain.



"Kita boleh berusaha yang terbaik untuk memastikan individu yang kita bantu di hujung talian atau yang membalas teks kami itu berada dalam keadaan yang selamat," katanya lagi.



Mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi SOS di talian 1767 (I-SOS) atau menerusi teks di talian 9151-1767.




"Antaranya ada yang sudah berada di belebas tingkap atau naik di lantai yang sangat tinggi flat kerana mempunyai niat untuk terjun dan bunuh diri. Ada yang terus terang berkata mereka kini berada di tingkat 14 dan mahukan kami beri mereka satu sebab untuk terus hidup. Ada juga yang mengongsi mereka mempunyai pisau atau pil di tangan mereka. Ada juga yang menghubungi kami setelah membuat tindakan itu."
- Cik Aishah Mutalif, ketua pasukan sokongan krisis untuk panggilan hotline dan pelatih bagi Caretext di Samaritans of Singapore (SOS), mengongsi pengalamannya.




TALIAN BANTUAN



National Care Hotline: 1800-202-6868 (8 pagi - 12 tengah malam setiap hari)



Untuk kesejahteraan mental



- Khidmat Kaunseling Dalam Talian Fei Yue

- Talian bantuan Kesihatan Mental Institut Kesihatan Mental (6389-2222)

- Samaritans of Singapore (1767)

- Silver Ribbon Singapore (6385-3714)



Isu perkahwinan dan keibubapaan



- Platform Kaunseling Dalam Talian Hab Psikologi Masyarakat



Keganasan atau Penderaan



- Pusat Pakar Perlindungan Kanak-Kanak Big Love (6445-0400)

- Pusat Pakar Perlindungan Kanak-Kanak HEART @ Fei Yue (6819-9170)

- Khidmat Bersepadu Perlindungan Individu dan Keluarga PAVE (6555-0390)

- Project StART (6476-1482)

- Pusat TRANS SAFE (6449-9088)



Kaunseling



- TOUCHline (Counselling) - 1800-377-2252



Bagi talian bantuan dan sokongan berkaitan kesihatan mental lain

- go.gov.sg/hotlines (BELLE, Beyond the Label helpbot)

- www.msf.gov.sg/Pages/Contact-Us.aspx




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >