KEMENTERIAN Pendidikan (MOE) dan institusi pendidikan setempat tidak akan bertolak ansur dengan sikap atau kata-kata berbaur perkauman yang sengaja dilakukan atau dilontarkan sebagai satu penghinaan tanpa memikirkan kepekaan sesebuah kaum atau agama.
Melahirkan rasa amat terkejut dan kecewa apabila mengetahui perkongsian bekas pelajar Politeknik Ngee Ann (NP) mengenai cara pensyarahnya memberi pandangan peribadi dan menghina Islam di bilik darjah pada 2017, Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman, berkata MOE dan NP memandang serius kejadian ini.
Pensyarah itu juga adalah yang membuat komen berbaur perkauman terhadap sepasang kekasih berlainan kaum dalam video tular yang dimuatnaikkan hujung minggu lalu.
Menulis di Facebook pada Khamis (10 Jun), Dr Maliki berkata kes ini sedang disiasat NP dan institusi itu tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin termasuk memberhentikan pensyarah itu jika dirasakan berpatutan.
"Tiada tempat buat sebarang kata-kata antikaum dan antiagama dalam institusi pendidikan kita, lebih-lebih lagi jika ia diluahkan seorang pendidik.
"MOE dan institusi pendidikan kita mempunyai pendirian 'toleransi sifar' terhadap sebarang sikap atau komen yang sengaja tidak peka dan menghina mana-mana kaum atau agama.
"Semua pendidik kita dijangka menegakkan Kod Tingkah Laku yang ditetapkan institusi masing-masing, yang menekankan secara jelas mereka harus menegakkan sekulariti dan kesaksamaan setiap masa," jelas Dr Maliki.
Sebagai negara berbilang kaum dan agama, terdapat banyak peluang dalam masyarakat Singapura khususnya di sekolah dan institusi untuk setiap anggota masyarakat pelajari tentang satu sama lain, memahami dan menghargai perbezaan dengan persamaan yang dikongsi akan memperkukuh perpaduan sosial, tambah beliau.
"Kita boleh dan harus melakukannya dengan lebih baik lagi," kata Dr Maliki.
--