KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) tidak lagi akan mendedahkan butiran setiap kes Covid-19 baru yang dikesan dalam masyarakat, sedang Singapura ini berganjak ke fasa baru dalam menentang pandemik ini.
Maklumat mengenai usia dan pekerjaan individu, serta tempat-tempat yang dilawati mereka dan tarikh mereka diuji positif tidak akan dikongsi, kata MOH dalam satu kenyataannya lewat kelmarin.
Sebaliknya, MOH akan memberikan maklumat terkini harian mengenai keadaan Covid-19 tempatan yang menunjukkan perkembangan dalam skim vaksinasi senegara, selain jumlah kes baru harian.
Ia juga akan memberikan pecahan mengenai bilangan orang yang mengalami kesan teruk jangkitan Covid-19, termasuk status vaksinasi mereka.
Keputusan itu dibuat oleh pasukan bertindak berbilang kementerian bagi Covid-19, kata MOH, yang berkata ada tumpuan kuat pada masa ini untuk mencegah virus daripada merebak, memvaksinasi penduduk di sini dan memulakan proses peralihan ke kebiasaan baru, sedang negara ini berganjak ke fasa baru dalam menentang Covid-19.
"Selain angka harian, kami akan memuatkan maklumat mengenai trend utama berhubung keadaan setempat, kelompok yang sedang diawasi, kemajuan dalam usaha vaksinasi dan bilangan orang yang mengalami kesan teruk jangkitan Covid-19," kata MOH.
Sekitar 3.28 juta orang di Singapura telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin sejak 30 Disember tahun lalu, dengan sekitar 5.38 juta dos diberikan pada masa ini.
Ini bermakna 57.5 peratus penduduk di Singapura telah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin, sementara lagi 36.8 peratus atau 2.1 juta orang telah mendapatkan dua dos lengkap.
Sehingga tengah hari kelmarin, 49,445 lagi orang telah menerima dos pertama vaksin Covid-19, sementara lagi 5,298 orang telah mendapatkan dos kedua di bawah program vaksinasi nasional.
Dalam kenyataannya kelmarin, MOH berkata ada bukti berterusan vaksinasi membantu mengurangkan penyakit serius dalam kalangan orang yang telah dijangkiti.
Dalam tempoh sekitar 28 hari lalu, sejumlah 23 kes setempat yang memerlukan oksigen telah dimasukkan ke unit jagaan rapi atau meninggal dunia.
Daripada kumpulan ini, 20 kes belum mendapatkan vaksinasi, sementara lagi dua telah mendapatkan satu dos.
Pesakit terakhir telah menjalani vaksinasi lengkap, tetapi telah jatuh sakit sebelum dijangkiti Covid-19, kata MOH.
Sejumlah 129 pesakit koronavirus telah dimasukkan ke hospital sehingga Selasa lalu. Kebanyakan daripada mereka berada dalam keadaan baik dan sedang diawasi.
Tiga lagi berada dalam keadaan tenat dan berada di unit jagaan rapi. Semua tiga berusia lebih 60 tahun dan belum mendapatkan vaksinasi.