Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MOH: Individu disah jangkiti cacar monyet semasa transit di Lapangan Terbang Changi

Jun 07, 2022 | 05:30 AM



SEORANG individu yang disahkan dijangkiti cacar monyet, atau monkeypox, telah melalui kawasan transit di Lapangan Terbang Changi pada 2 Jun lalu dalam perjalanannya ke Australia, lapor Kementerian Kesihatan (MOH).



Individu itu, yang berangkat dari Barcelona pada 1 Jun lalu untuk ke Australia, telah diuji positif bagi cacar monyet selepas tiba di Sydney keesokannya.



MOH dimaklumkan tentang perkara itu oleh Kementerian Kesihatan New South Wales, Australia, pada Sabtu lalu.



Cacar monyet ialah penyakit berjangkit yang biasanya dijangkiti daripada haiwan, dengan kes penyakit itu semakin meningkat di seluruh dunia.



Tanda-tanda penyakit itu biasanya termasuk demam panas dan ruam seperti cacar air yang bergelembung, yang memerlukan beberapa minggu untuk hilang.



Tiada kes cacar monyet tempatan dikesan sejauh ini tahun ini.



MOH berkata individu tersebut tidak keluar dari kawasan transit di Lapangan Terbang Changi sehingga keberangkatannya ke Sydney pada hari yang sama, dan tidak mengunjungi kawasan lain di lapangan terbang itu.



"Oleh sebab kes itu tidak memasuki Singapura atau berinteraksi dengan orang dalam masyarakat, tidak ada risiko besar penularan masyarakat buat masa ini.



"Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, kami telah melakukan penjejakan kontak bagi dua penerbangan yang terjejas dan mereka yang mungkin mempunyai kontak dengan pelancong itu di kawasan transit lapangan terbang," kata kementerian itu.



MOH menambah bahawa tidak ada individu yang dinilai mempunyai kontak rapat dengan pelancong itu, dan oleh itu, tidak ada keperluan bagi kuarantin.



Seramai 13 orang yang mungkin mempunyai kontak biasa dengan pelancong itu telah diletakkan di bawah pengawasan telefon selama 21 hari.



Mereka akan menerima panggilan harian untuk memeriksa keadaan kesihatan mereka sehingga akhir tempoh pemantauan.



Sekiranya mereka melaporkan tanda-tanda yang menunjukkan jangkitan cacar monyet, mereka akan dinilai dari segi perubatan dan mungkin dihantar ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) bagi penilaian lanjut, kata MOH.



Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ahad lalu berkata 780 kes cacar monyet yang disahkan makmal telah dilaporkan kepada badan itu dari 27 negara bukan endemik, dan tahap risiko global adalah sederhana.



WHO berkata angka 780 kes itu, yang dilaporkan dari 13 Mei hingga Khamis lalu, anggarannya mungkin kurang disebabkan keterbatasan maklumat epidemiologi dan makmal.



"Kemungkinan tinggi negara lain akan mengenal pasti kes dan virus itu akan terus merebak," tambah agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >