Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MOH jalankan projek perintis ujian pantas antigen diselia secara maya

Bagi perluas pilihan demi mudahkan ujian kendiri kerap, lengkapi pusat ujian
Jan 18, 2022 | 05:30 AM



MEREKA yang perlu menjalani ujian pantas antigen (ART) yang diselia sekarang boleh melakukannya menerusi konsultasi video bersama penyedia penjagaan kesihatan swasta.



Hasil ujian itu akan dihantar kepada pengguna menerusi SMS atau e-emel dalam masa empat jam.



Sebuah program perintis untuk menilai kebolehlaksanaan ujian swab ART kendiri yang diselia secara maya sedang dijalankan, kata Kementerian Kesihatan (MOH) kepada akhbar The Straits Times (ST) kelmarin.



Kementerian itu mengatakan ia sedang meninjau untuk memperluas pilihan bagi memudahkan ujian kendiri kerap dan melengkapi rangkaian pusat ujian fizikal sedia ada sedang Singapura beralih ke arah kehidupan bersama endemik Covid-19.



Program perintis itu melibatkan syarikat pemula penjagaan kesihatan Doctor Anywhere, yang melancarkan perkhidmatan tele-ART pada Selasa lalu.



Perkhidmatan itu menjadikan lebih mudah bagi mereka yang pulang ke sini menggunakan Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) mengambil ujian pada hari ketiga dan hari ketujuh setelah mereka tiba.



Hasil bagi ujian praacara dan prapelapasan yang diselia secara maya juga sah, bergantung pada syarat yang dikenakan negara destinasi.



Untuk menempah temu janji tele-ART, orang ramai mesti memuat turun aplikasi Doctor Anywhere.



Doctor Anywhere mengenakan bayaran $12.84 bagi perkhidmatan tersebut, yang tidak termasuk kit ART.



Semasa konsultasi selama 30 minit, mereka yang menjalani ujian dikehendaki menghidupkan kamera videonya dan memastikan kit ART dapat dilihat supaya hasil ujian boleh disahkan oleh penyelia swab.



Pengarah projek dan strategi di Doctor Anywhere, Cik Ivin Yew, memberitahu ST bahawa langkah berjaga-jaga diambil untuk memastikan hasil ujian Covid-19 tepat.



Sebagai contoh, sebelum ujian bermula, pengguna akan diminta memeriksa apakah semua peralatan kit ART belum dibuka.



Lidi swab perlu dimasukkan sekitar 2.5cm ke dalam lubang hidung.



Dr Raymond Ong, seorang doktor kanan di Doctor Anywhere, memberitahu ST bahawa mereka berharap dapat memberi perkhidmatan kepada sekitar 1,000 pengguna pada minggu pertama pelancaran tele-konsultasi itu.



Beliau juga berharap perkhidmatan itu dapat memenuhi sekitar 30 peratus daripada permintaan bagi ujian swab ART kendiri yang diselia.



"Kami melihat keperluan mendesak menjadikan ujian Covid-19 tersedia dengan lebih meluas dan boleh diakses.



"Untuk kita kembali ke keadaan normal, adalah penting kita memastikan ujian digabungkan ke dalam kehidupan normal kami," kata Dr Ong.



MOH berkata hasil program perintis ini akan menentukan keperluan pelesenan dan perlindungan yang diperlukan untuk memastikan kesahihan hasil ujian yang diselia secara maya.



Pakar penyakit berjangkit berkata projek perintis ini akan menjadikan lebih mudah dan selamat bagi orang ramai mengambil ujian Covid-19.



Profesor Madya Jeremy Lim daripada Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock, Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata: "Penyeliaan jarak jauh lebih murah dan lebih mudah berbanding kerumitan (berbuat demikian) secara peribadi.



"Terdapat juga manfaat tambahan keselamatan kerana kita mengelak orang berkumpul di ruang terkurung dan meningkatkan risiko jangkitan Covid-19, terutamanya daripada varian Omicron yang lebih mudah berjangkit."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >