KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) dan Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi Covid-19 kini sedang mengkaji keberkesanan dan keselamatan dua jenis vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak kecil.
MOH dalam kenyataannya pada Isnin (20 Jun) berkata pihaknya dan jawatankuasa itu sedang mengkaji sama ada vaksin Moderna berkesan dan selamat bagi kanak-kanak berusia enam bulan hingga lima tahun.
Bagi vaksin Pfizer-BioNTech pula, mereka sedang mengkaji keberkesanan dan keselamatannya bagi kanak-kanak berusia enam bulan hingga empat tahun.
“Kami sedang mendekati syarikat pengeluar vaksin masing-masing untuk mendapatkan maklumat relevan untuk mempermudahkan penilaian risiko-manfaat tentang penggunaan vaksin ini dalam kumpulan usia ini,” kata MOH.
Kenyataan MOH itu menyusuli laporan pada Ahad bahawa pegawai rasmi kesihatan Amerika Syarikat telah meluluskan vaksin Covid-19 bagi bayi dan kanak-kanak kecil – kumpulan usia terakhir yang belum layak bagi vaksinasi.
Jawatanuasa Penasihat mengenai Amalan Imunisasi Pusat bagi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika telah mengundi 12-0 pada Sabtu untuk menyarankan vaksin Pfizer tiga dos untuk kanak-kanak berusia enam bulan hingga empat tahun.
Mereka juga mengundi 12-0 untuk menyarankan vaksin Moderna dua dos bagi kanak-kanak berusia enam bulan hingga lima tahun.