MOH maklumkan Muis seorang lelaki sah Covid-19 lepas pergi masjid, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:30
Syuruk
6:53
Zuhur
12:56
Asar
4:19
Maghrib
6:56
Isyak
8:10
Suatu Ketika di Singapura
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat3

MOH maklumkan Muis seorang lelaki sah Covid-19 lepas pergi masjid

Jul 18, 2020 | 05:30 AM

MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) telah dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) mengenai seorang lelaki yang mengunjungi sebuah masjid baru-baru ini dan kemudian diuji positif bagi koronavirus Covid-19.

Lelaki itu, bagaimanapun, tidak dibenarkan masuk ke masjid itu kerana beliau tidak membawa sejadah sendiri.

Muis mengatakan semalam bahawa kejadian terbaru itu, bersama kes sebelum ini apabila seorang individu positif Covid-19 mengunjungi Masjid Al-Ansar beberapa kali, merupakan peringatan bahawa masyarakat perlu terus berwaspada.

Mengenai kes terbaru itu, lelaki berkenaan berada dalam peringkat berjangkit tetapi tidak menunjukkan gejala, menurut Muis.

"Namun, lelaki itu tidak dibenarkan masuk ke masjid kerana beliau tidak membawa sejadah peribadinya, yang mengurangkan risiko jangkitan kepada jemaah lain yang hadir waktu itu," kata Muis dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, terdapat satu kes pesakit Covid-19 yang tidak menunjukkan gejala virus itu mengunjungi Masjid Al-Ansar di Bedok beberapa kali antara 26 Jun hingga 2 Julai lalu untuk menunaikan solat.

MOH telah menilai bahawa individu itu hanya mempunyai kontak sementara dengan jemaah, yang bermakna jemaah lain mempunyai risiko rendah dijangkiti.

"Bagaimanapun, ini merupakan peringatan penting bahawa bahaya daripada pandemik Covid-19 belum berakhir, dan masyarakat mesti terus berwaspada dan mengamalkan langkah keselamatan agar masjid kita kekal selamat," kata Muis.

Masjid pula akan meneruskan kerja pembersihan, mengekalkan langkah jarak selamat, dan mengamalkan sistem SafeEntry.

Sementara itu, Muis berkata sebanyak 48 masjid akan terus menyediakan tiga sesi solat Jumaat - pada 1 petang, 2 petang, dan 3 petang - minggu depan.

Sebanyak 17 masjid lagi akan terus mengadakan dua sesi solat Jumaat.

Had 50 tempat bagi setiap sesi solat masih dikekalkan, sejajar dengan garis panduan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) bagi semua tempat ibadah.

Orang awam boleh membuat tempahan bagi solat Jumaat seterusnya mulai 10 pagi pada Selasa depan.

Mereka boleh berbuat demikian menerusi laman https://ourmosques.commonspaces.sg, atau menerusi aplikasi mudah alih Muslim.sg.

Jemaah yang telah melakukan solat Jumaat sebelum 24 Julai tidak boleh menempah ruang bagi sesi solat Jumaat akan datang, untuk memberi lebih peluang kepada mereka yang belum menunaikan solat Jumaat di masjid.

Mereka yang tidak boleh menempah tempat bagi solat Jumaat masih terus diberi fleksibiliti menggantikan solat Jumaat dengan solat zuhur, sebagaimana yang dinasihatkan Jawatankuasa Fatwa Singapura.


"... ini merupakan peringatan penting bahawa bahaya daripada pandemik Covid-19 belum berakhir, dan masyarakat mesti terus berwaspada dan mengamalkan langkah keselamatan agar masjid kita kekal selamat."
- Muis.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map