KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) berkata tiada tanda menunjukkan bahawa serangan jantung yang berlaku ke atas seorang lelaki warga Singapura berusia 72 tahun pada Selasa malam (16 Feb) berkait dengan vaksin Pfizer-BioNtech yang diterimanya.
MOH berkata warga emas itu telah dimasukkan ke unit penjagaan rapi (ICU) Hospital Tan Tock Seng (TTSH) selepas diserang sakit jantung.
Sebelum itu, pada Selasa pagi, beliau telah diberi dos pertama vaksin Pfizer-BioNtech.
MOH, yang mendapat tahu tentang kejadian tersebut pada Rabu (17 Feb), berkata lelaki itu mempunyai sejarah penyakit barah, darah tinggi dan hiperlipidemia atau tahap kolestrol yang tidak normal.
Namun, berdasarkan penilaian awal hospital, “tiada tanda yang menunjukkan serangan jantung itu disebabkan vaksin Covid-19”, tambah MOH.
Ujian lanjut kini dijalankan oleh pasukan perubatan untuk mengetahui punca serangan jantung lelaki itu.
Sebelum diberi vaksin, lelaki itu telah dinilai oleh kakitangan kesihatan untuk memastikan beliau boleh menerima vaksin tersebut, kata MOH.