MOM bidas kenyataan SDP

KEMENTERIAN Tenaga Manusia (MOM) menekankan bahawa jumlah golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) setempat yang diberhentikan kerja tidak meningkat seperti yang didakwa Parti Demokratik Singapura (SDP).

Menerusi satu kenyataan malam tadi (15 Disember), MOM menerangkan bahawa laporan The Straits Times yang ditukil SDP sebenarnya menyatakan bahawa jumlah PMET di kalangan semua warga setempat yang diberhentikan kerja pada 2018, iaitu 7,070 orang, telah meningkat.

“Ini berbeza daripada apa yang didakwa SDP, iaitu jumlah mereka yang diberhentikan kerja daripada 1,254,000 PMET Singapura telah meningkat.

“Kenyataan SDP itu salah. Di kalangan PMET setempat, jumlah mereka yang diberhentikan kerja telah berkurangan daripada 6,460 orang pada 2015 kepada 5,360 orang pada 2018,” kata MOM.

Malah tambahnya, lebih ramai warga setempat mempunyai pekerjaan PMET.

Oleh itu dalam pemberhentian kerja, lebih ramai warga yang terjejas boleh termasuk golongan PMET.

MOM turut mendedahkan bahawa jumlah PMET setempat yang diberhentikan kerja tahun lalu, iaitu 5,360 orang, adalah yang terendah sejak 2014.

MOM juga menarik perhatian bahawa SDP telah memberi respons terhadap Arahan Pembetulan yang dikeluarkan oleh Pejabat Pofma dan ingin memohon untuk membatalkan arahan tersebut.

MOM berkata mereka akan mempertimbang permohonan mereka sekiranya ia dikemukakan nanti.