LAPORAN BURUH

MOM: Lebih ramai warga dapat pekerjaan tapi kadar pengangguran naik sedikit

PASARAN buruh setempat terus menunjukkan pemulihan dengan bilangan warga Singapura yang mendapat pekerjaan pada enam bulan pertama tahun ini meningkat, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun kadar pengangguran jangka panjang terus meningkat, kata laporan pasaran buruh terkini Kementerian Tenaga Manusia (MOM) semalam.

Menurut perangkaan MOM, pengambilan pekerja di kalangan penduduk setempat bagi separuh pertama tahun ini meningkat 1.5 kali ganda kepada 6,500 - berbanding 4,000 pada separuh pertama tahun lalu.

Ini didorong oleh sektor perkhidmatan yang berkembang termasuk khidmat masyarakat, sosial dan peribadi; maklumat dan komunikasi serta khidmat kewangan dan insurans.

Jumlah pekerjaan kosong pula mencapai kadar tertinggi dalam masa tiga tahun - 56,700 pada Jun, berbanding 53,900 pada Mac.

Tetapi perangkaan menunjukkan yang kadar pengangguran jangka panjang naik sedikit kepada 0.8 peratus pada Jun, berbanding 0.7 peratus pada Mac.

Kadar pengangguran jangka panjang mengukur bilangan penduduk yang menganggur selama sekurang-kurangnya 25 minggu.

MOM berkata pada masa yang sama, kadar pengangguran keseluruhan turut bertambah - 2.9 peratus pada Jun berbanding 2.8 peratus pada Mac, selepas menyaksikan trend merosot sejak Jun 2017.

"Ini berlaku kerana lebih ramai yang memasuki pasaran kerja untuk mencari pekerjaan," jelas MOM dalam laporannya itu.

Bilangan pembuangan pekerja pula menguncup kepada 5,350 pada separuh pertama tahun ini, lebih rendah daripada 7,640 pada tempoh yang sama tahun lalu.

Pada suku kedua tahun ini, seramai 3,030 dibuang kerja, juga lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Usaha penyusunan semula kekal sebagai antara sebab utama di sebalik pembuangan pekerja bagi semua industri," ujar MOM.

Secara keseluruhan, MOM berkata pasaran buruh di Singapura terus menunjukkan pemulihan.

"Sedang usaha penyusunan semula mula rancak di tengah-tengah kegiatan ekonomi yang meningkat, salah pemadanan pekerjaan dan kemahiran akan terus menjadi satu cabaran.

"Lantaran itu, adalah semakin penting bagi pekerja serta perniagaan kekal tangkas dan responsif terhadap perubahan ekonomi dan landskap tenaga kerja yang berubah-ubah," ujar MOM dalam laporannya itu.

Laporan itu juga menarik perhatian bahawa kadar produktiviti buruh keseluruhan tumbuh 3.9 peratus - disokong oleh sektor pengilangan, khidmat kewangan dan insurans, khidmat penginapan dan makanan serta dagangan borong dan runcit.

Mengulas di Facebooknya semalam, Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Patrick Tay berkata secara keseluruhannya pasaran buruh dalam keadaan positif.

"Tetapi ada ketidaktentuan, gangguan dan penyusunan semula yang akan menyebabkan pemberhentian kerja dalam merata sektor, dan khususnya menjejas golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET)," ujarnya.

Encik Tay menarik perhatian terhadap tiga aspek yang harus dipantau rapat - perkembangan dagangan global, teknologi menggangu serta pengangguran kerana isu struktur, misalnya, salah pemadanan kemahiran, jangkaan dengan pekerjaan.

Encik Tay menjangkakan perangkaan keseluruhan pembuangan kerja bagi 2018 akan lebih rendah berbanding 2016 dan 2017.

"Saya menggalak kededua majikan dan pekerja mendakap perubahan dan gangguan dengan sikap dan pemikiran yang tepat - melihat tempoh ini bukan sebagai cabaran dan ancaman, tetapi peluang mereka diri semula dan berubah agar bersedia, relevan dan berdaya tahan," gesa Encik Tay.

Tambahnya, ini juga telah mendorong gerakan buruh untuk melancarkan satu kajian mengenal pasti kemahiran dan sikap yang diperlukan seorang pekerja bagi pekerjaan pada masa depan.


SEKILAS LAPORAN

  • Pengambilan pekerja (penduduk setempat) naik 1.5 kali ganda kepada 6,500 - berbanding 4,000 pada separuh pertama tahun lalu.
  • Kadar pengangguran (jangka panjang) naik kepada 0.8 peratus pada Jun, berbanding 0.7 peratus pada Mac.
  • Kadar pengangguran (keseluruhan) naik - 2.9 peratus pada Jun berbanding 2.8 peratus pada Mac
  • Kadar produktiviti buruh keseluruhan tumbuh 3.9 peratus
  • Bilangan pembuangan pekerja menguncup kepada 5,350 pada separuh pertama tahun ini, lebih rendah daripada 7,640 pada tempoh yang sama tahun lalu.

Sumber: MOM

Waktu Solat

Subuh
5:27
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
3 HR PSI: 24
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.