Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MOM: Pendapatan merosot akibat Covid-19

Bantuan pemerintah kurang kesan bagi pekerja bergaji 20% paling rendah | Kadar pekerjaan penduduk muda juga merosot
Dec 04, 2020 | 05:30 AM



PENDAPATAN warga Singapura dan penduduk tetap merosot buat pertama kali sejak 2014 disebabkan pandemik Covid-19, menurut anggaran awal yang diterbitkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) semalam.



Namun, bantuan turut diberikan pemerintah untuk menolong mengurangkan kesan terhadap pendapatan golongan pekerja berpendapatan 20 peratus paling rendah, kata MOM.



Pendapatan median nominal bagi penduduk yang bekerja sepenuh masa merosot 0.6 peratus kepada $4,534 pada Jun daripada $4,563 setahun lalu.



Pendapatan median sebenar dalam kalangan penduduk bekerja sepenuh masa, termasuk sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) majikan, turun 0.3 peratus - satu kebalikan daripada pertumbuhan 2.2 peratus yang dilihat pada tahun lalu.



Pendapatan sebenar bagi golongan pekerja berpendapatan 20 peratus terendah jatuh 4.5 peratus, tidak termasuk bantuan pembayaran pemerintah, kerana industri yang lebih terjejas oleh Covid-19 mempunyai lebih ramai pekerja bergaji rendah.



Pendapatan individu bekerja sendiri yang bergaji rendah, seperti pemandu teksi dan penjaja makanan, juga terjejas dek kemerosotan dalam jumlah pelancong, aturan kerja di rumah, dan peraturan sementara yang tidak membolehkan orang ramai duduk makan dalam cawangan makanan dan minuman semasa tempoh pemutus litar dari April hingga Jun lalu.



Bagaimanapun, terdapat pelbagai skim yang disediakan pemerintah untuk membantu pekerja bergaji rendah semasa pandemik ini.



Tahap pendapatan bagi golongan berpendapatan 20 peratus terendah itu serupa dengan paras tahun lalu selepas mengambil kira bantuan pembayaran pemerintah, seperti Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) dan Bayaran Khas Daya Kerja sekali tahun ini.



Laporan tahunan MOM itu adalah berdasarkan data yang dikumpulkan pada Jun lalu. Oktober lalu, kementerian itu mengeluarkan satu laporan berasingan yang mengandungi perangkaan awal bagi situasi pasaran buruh dalam suku ketiga, yang antaranya menunjukkan kadar pekerjaan penduduk meningkat dan peningkatan dalam kadar pengangguran semakin perlahan.



Dalam pada itu, kadar penduduk Singapura yang bekerja pulih hampir kepada paras sebelum pandemik Covid-19 dalam suku ketiga tahun ini selepas merosot kepada paras terendah dalam enam tahun pada Jun lalu semasa tempoh pemutus litar.



Kadar pekerjaan bagi penduduk berusia 15 tahun dan ke atas merosot daripada 65.2 peratus pada tahun lalu kepada 64.5 peratus tahun ini - yang terendah sejak 2014.



"Namun, ini satu kemerosotan lebih kecil berbanding tempoh kemelesetan masa lalu, dibantu oleh pertumbuhan penduduk dan tenaga buruh yang lebih perlahan," kata MOM dalam laporannya.



Golongan belia berusia 15 hingga 24 tahun mencatatkan penurunan terbesar dalam kadar pekerjaan, dengan kadar itu jatuh kepada 30.9 peratus pada Jun lalu berbanding 33.9 peratus setahun sebelumnya.



Sebaliknya, kadar pekerjaan bagi penduduk berusia 65 tahun dan ke atas pula terus meningkat daripada 27.6 peratus pada tahun lalu kepada 28.5 peratus pada tahun ini.



Kadar pekerjaan bagi penduduk berusia 25 hingga 64 tahun, yang membentuk sebahagian besar tenaga kerja, turun sedikit daripada 80.8 peratus pada Jun tahun lalu kepada 80.3 peratus tahun ini, dengan ia serupa dengan purata 80.5 peratus dalam tempoh lima tahun lalu.



Dalam satu sidang media maya semalam, Menteri Tenaga Manusia, Cik Josephine Teo, berkata Singapura kini perlu kembali ke jalan pertumbuhan pekerjaan dalam fasa pemulihan semasa.



"Kami perlu bekerjasama dengan agensi untuk memastikan kegiatan ekonomi dapat dikembalikan dan juga mempunyai peluang berkembang kerana hanya setelah kegiatan ekonomi dapat berkembang, barulah kita boleh melihat skop bagi pekerjaan tumbuh," kata beliau.



LAPORAN LANJUT: Bukan PMET terjejas lebih teruk oleh Covid-19: MOM




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >