Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MOM semak perlindungan amah, penderaan tidak boleh diterima di SG: Josephine

Feb 26, 2021 | 05:30 AM



KEMENTERIAN Tenaga Manusia (MOM) sedang menyemak perlindungan yang diberikan kepada pembantu rumah asing untuk mencegah penderaan pekerja sedemikian di masa depan.



Semakan ini meliputi perlindungan yang diterima pembantu rumah asing daripada majikan bersikap mendera, sistem laporan bagi doktor dan penglibatan masyarakat dan rakan pertubuhan, kata Menteri Tenaga Manusia, Cik Josephine Teo.



Beliau berkata demikian semalam semasa bercakap kepada wartawan di sesi maya mengenai kes penderaan yang menyebabkan kematian pembantu rumah warga Myanmar, Cik Piang Ngaih Don.



Menurut Cik Teo, kes tersebut sungguh mengejutkan dan tidak boleh diterima sama sekali.



"Biar saya tekankan lagi. Penderaan pembantu rumah di Singapura tidak boleh diterima. Perkara itu sama sekali tidak boleh diterima," ujar beliau.



"Pemerintah Singapura memandang serius keselamatan semua pembantu rumah asing di sini. Ada perlindungan yang dilaksanakan, namun kita mesti melakukan lebih baik untuk mengelakkan kejadian mengerikan seperti itu daripada berlaku lagi," tambah beliau, yang juga Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri.



Selasa lalu, majikan Cik Piang, Gaiyathiri Murugayan, 40 tahun, mengaku salah atas 28 tuduhan, termasuk membiarkan Cik Piang kebuluran, menderanya dan selanjutnya membunuhnya.



Selama hampir setahun, Cik Piang dibiarkan kelaparan, didera dan tidak dibenarkan menutup pintu semasa menggunakan tandas.



Malah, beliau diikat pada kekisi tingkap semasa tidur dalam 12 malam terakhir hayatnya.



Berat badan Cik Piang hanya 24 kilogram apabila beliau meninggal dunia pada 26 Julai 2016 pada usia 24 tahun.



Berat badannya itu berkurangan 38 peratus sejak mula bekerja dengan majikannya itu pada 28 Mei 2015.



Suami tertuduh, Kevin Chelvam, seorang pegawai polis berusia 41 tahun, digantung daripada khidmatnya pada 8 Ogos 2016 dan menghadapi pelbagai tuduhan berhubung kes tersebut.



Ibu Gaiyathiri, yang tinggal bersama pasangan itu, juga didakwa di mahkamah pada 2016.



Ketiga-tiga kes ini masih dibicara di mahkamah.



Cik Piang telah diperiksa doktor dua kali semasa tempoh pekerjaannya itu dan agensi pekerjaannya juga telah bercakap dengannya sebanyak dua kali, namun mereka tidak mengesan tanda-tanda membimbangkan.



Cik Teo berkata terdapat pemeriksaan kesihatan mandatori setiap enam bulan bagi semua pembantu rumah asing di Singapura dan kadar pematuhan bagi langkah ini adalah tinggi.



Sejak 2017, doktor juga diminta melaporkan kepada polis atau MOM sekiranya mereka mengesan tanda-tanda penderaan atau tanda lain yang membimbangkan.



"Kami telah menyatakan perkara ini dengan jelas pada 2017 dan kami akan memperkukuhkan perkara ini," kata beliau.



Ditanya jika tindakan akan diambil terhadap doktor terakhir yang memeriksa Cik Piang, atau individu lain yang mungkin tahu tentang penderaan itu, seperti dua penyewa yang tinggal di dalam rumah yang sama, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, yang turut hadir di sesi media itu berkata adalah sukar untuk mengulas kerana kes tersebut sedang dikendalikan di mahkamah.



Namun, Encik Shanmugam berkata Chelvam akan dikenakan prosiding disiplin polis, tanpa mengambil kira keputusan kes jenayah terhadapnya di mahkamah.



LAPORAN LANJUT: Dera amah hingga maut: Polis akan kenakan tindakan disiplin terhadap pegawai terlibat




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >