KEMENTERIAN Tenaga Manusia (MOM) telah menyiasat 960 kes kesalahan menerima sogokan secara purata antara 2016 dan 2020, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Sekitar dua pertiga daripada kes ini dilaporkan oleh pekerja asing dan satu pertiga dilaporkan oleh masyarakat awam, badan bukan pemerintah serta agensi awam, tambah beliau.
Sebilangan kecil kes dikesan menerusi pemeriksaan proaktif MOM, berdasarkan analisis data.
Kesalahan itu berkaitan dengan pembayaran haram yang diambil daripada pekerja agar dipertimbangkan untuk jawatan yang mereka inginkan.
Dr Tan memberi jawapan terhadap soalan Encik Louis Ng (GRC Nee Soon) di Parlimen semalam.
"Bagi menggalak pekerja asing tampil untuk melaporkan sogokan tanpa perlu rasa takut terhadap balasan dari majikan mereka, MOM akan mempermudahkan peralihan pekerjaan kepada mereka yang ingin terus bekerja di Singapura," kata Dr Tan.
"MOM juga akan merujuk pekerja asing yang terjejas kepada agensi pekerjaan terpilih yang komited untuk tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pekerja tersebut."
Menurut Dr Tan lagi, kementerian itu juga giat membimbing pekerja asing yang pertama kali bekerja di sini menerusi program penyesuaiannya untuk mengenal pasti kesalahan menyogok serta bagaimana untuk mendapatkan bantuan.
Encik Ng juga telah bertanya jika MOM menjalankan usaha lain untuk membendung amalan yang terjadi secara "meluas" ini. Beliau menarik perhatian bahawa Taiwan menawarkan pekerja asing insentif kewangan bagi melaporkan kesalahan sogokan.
Memberi respons, Dr Tan berkata aduan berkaitan sogokan merangkumi hanya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan aduan yang diterima MOM dalam masa setahun.
Beliau menambah pendekatan pihak pemerintah adalah untuk membantu pekerja memahami apa yang dimaksudkan dengan sogokan dan perlindungan pekerja yang sedia ada.
Di samping itu, Dr Tan menegaskan hukuman yang lebih berat juga akan dikenakan kepada majikan yang melakukan kesalahan tersebut.
Di bawah Undang-Undang Tenaga Kerja Asing, majikan yang disabitkan dengan kesalahan menerima sogokan boleh dikenakan denda hingga $30,000, penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya.
Dr Tan juga berkata perekrut yang tidak berada dalam senarai agensi pekerjaan yang diiktiraf dan berdaftar dengan MOM akan menghadapi hukuman melakukan kegiatan pengambilan pekerja secara haram.