Subuh
5:37
Syuruk
6:53
Zuhur
12:58
Asar
4:01
Maghrib
7:00
Isyak
8:08
Setempat

M'sia akan teruskan projek RTS JB-S'pura: Mahathir

Nov 01, 2019 | 05:30 AM

MALAYSIA akan meneruskan rancangan projek Sistem Transit Laju (RTS) Link dengan kos dikurangkan kepada RM3.16 bilion ($1.03 bilion).

Ini adalah penjimatan sebanyak RM1.77 bilion, atau 36 peratus lebih rendah, berbanding kos awal RM4.93 bilion, bagi projek kereta api antara Singapura dengan Johor Bahru itu.

Ini diumumkan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam satu sidang media di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru, semalam.

"Kita akan patuh pada janji kita. Kita dah bersedia dan kita akan bina (RTS)," ujar Tun Dr Mahathir.

Singapura dan Malaysia telah menandatangani satu perjanjian tahun lalu untuk membina laluan MRT sepanjang empat kilometer rentas sempadan dari Woodlands di Singapura ke Bukit Chagar di Johor untuk mengurangkan kesesakan di Koswe.

Namun Mac lalu, Malaysia telah meminta lanjutan enam bulan untuk memberi jawapan kepada Singapura mengenai projek tersebut.

Kedua negara itu bersetuju menangguhkan RTS itu hingga 30 September pada Mei lalu tetapi di akhir tempoh tersebut Malaysia meminta ia ditunda lagi selama sebulan hingga 31 Oktober.

Kementerian Pengangkutan Malaysia dalam kenyataan mereka semalam berkata dalam tempoh penggantungan itu, ia telah menjalankan beberapa siri kajian dan semakan.

Satu ciri penting di dalam struktur projek RTS Link yang disemak semula adalah berkenaan "penglibatan pemaju dan pemilik tanah Bukit Chagar untuk membiayai dan membolehkan projek tersebut diteruskan dengan kos tanah yang dikecualikan."

Turut hadir di sidang media itu, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata penjimatan itu kebanyakannya daripada pengecualian kos tanah, yang nilainya sekitar RM800 juta.

Tanah itu di bawah nama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail, menurut laporan media sebelum ini.

Encik Loke berkata, projek RTS Link akan diteruskan dengan perubahan skop dan spesifikasi.

"Antara yang kami cadangkan kepada Singapura adalah perubahan daripada sistem MRT kepada LRT, yang sistemnya lebih murah," ujar Encik Loke.

Sistem LRT yang diusulkan serupa dengan LRT di Kuala Lumpur, dan pihaknya juga merancang untuk mengurangkan tambang, tambahnya.

Namun, perincian mengenai projek yang disemak itu masih dibincangkan dengan Singapura, ujar Encik Loke lagi.

Beliau juga menafikan laporan media semalam tentang akan ada penangguhan lagi.

Operasi kereta api itu sebelum ini dirancang mula beroperasi pada hujung 2024.

Namun, Dr Mahathir berkata sistem RTS itu tidak akan menghuraikan masalah kesesakan motosikal di lintasan antara Singapura-Johor Bahru.

Sebaliknya, katanya, jambatan ketiga yang boleh menyelesaikan masalah tersebut.

"Kereta api tidak akan selesaikan masalah orang yang pergi balik dengan motosikal.

"Yang boleh selesaikan masalah ini adalah jambatan (ketiga). Jadi kita sekarang ni tak dapat buat jambatan kerana tak dapat persetujuan," ujar Dr Mahathir.

Dalam sidang tersebut, beliau juga mengulas mengenai persetujuan Malaysia untuk menjual air kepada Singapura sebanyak 3 sen bagi setiap seribu gelen dengan harga yang ditetapkan pada 1926.

Tetapi, menurut Dr Mahathir, apabila negara tersebut mahu membina jambatan, Singapura tidak bersetuju.

Diminta mengulas tentang isu jambatan itu, Encik Loke berkata soal tersebut tidak dibincangkan pihaknya dalam projek RTS.

Namun, katanya, kerajaan Malaysia komited untuk menangani isu kesesakan antara Johor Bahru dan Singapura secara menyeluruh dengan bekerja rapat dengan Singapura.

"RTS Link akan menjadi pilihan pengangkutan untuk puluhan ribu orang yang mahukan perkhidmatan yang pantas, boleh dipercayai, dan berpatutan untuk perjalanan harian mereka," katanya.

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian