MALAYSIA telah membenarkan sekurang-kurangnya satu pembekal ayam utama dari Singapura untuk membawa masuk ayam kampung dan ayam hitam yang hidup dari Malaysia.
Pembekal ayam Kee Song Food berkata kerajaan Malaysia mengizinkan mereka menyambung membawa masuk ayam kampung hidup mulai semalam, dan ayam hitam yang hidup mulai Sabtu ini.
Ketua pembangunan perniagaan di Kee Song, Encik James Sim, telah menunjukkan surat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) yang menyatakan kerajaan Malaysia bersetuju mengizinkan eksport ayam kampung dan ayam hitam hidup itu menyusuli keputusan Kabinet kerajaan Malaysia pada 8 Jun.
Surat tersebut, yang ditunjukkan kepada akhbar The Straits Times, turut menyatakan eksport jenis ayam segar biasa ke Singapura, iaitu jenis ayam yang paling banyak dibawa masuk ke sini, tetap dilarang.
Seorang pegawai tinggi kerajaan Malaysia, yang enggan namanya disebut, mengesahkan sambungan eksport ayam hidup jenis kampung dan hitam itu ke Singapura.
Berita Harian (BH) telah menghubungi DVS dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) untuk mendapatkan ulasan butiran lanjut dan perkembangan terkini mengenai perkara ini.
Kerajaan Malaysia telah menghentikan eksport ayam ke Singapura pada Jun 1 lalu sebagai antara usaha untuk mengawal harga dan bekalan ayam di Malaysia.
Sejak itu, Singapura mengalami kekurangan ayam segar, tetapi kededua pembeli dan penjual telah beralih menggunakan ayam beku.
Kee Song Food dan Mutiara 99, sebuah kedai menjual ayam segar di Geylang Serai, gembira kerana perniagaan mereka dijangka bertambah baik.
Encik Sim berkata Kee Song Food sudah mula mengambil tempahan ayam kampung dan hitam.
Pelanggan mereka terdiri daripada penjual ayam di pasar, penjaja nasi ayam dan beberapa restoran.
"Kami membawa masuk ayam kampung sebanyak yang kami boleh, walaupun ia tertakluk kepada apa yang ada dari ladang," kata Encik Sim.
Di Kee Song Food, sekitar 25 peratus hingga 30 peratus daripada keseluruhan bekalan ayam merupakan ayam kampung.
Ayam hitam membentuk 3 peratus hingga 5 peratus daripada keseluruhan bekalan ayam mereka.
Menurut pemilik kedai Mutiara 99 pula, Encik Ilmi Izhar, terdapat sedikit perbezaan antara penggunaan ayam kampung dengan ayam segar biasa.
"Daging ayam kampung lebih padat daripada ayam segar biasa. Oleh kerana itu, ia lebih sesuai untuk hidangan seperti ayam rendang," kata Encik Ilmi.
Encik Ilmi menambah: "Sebelum ini, pelanggan saya membeli ayam kampung kadangkala sahaja.
"Tetapi, saya mendapati pelanggan saya yang berbangsa Cina dan India lebih kerap membeli ayam kampung, mungkin kerana ayam kampung lebih sesuai digunakan untuk masakan mereka."
Beliau mungkin akan menambah bekalan ayam kampung di kedainya.
Buat masa ini Encik Sim dan Encik Ilmi berkata keizinan separa untuk membawa masuk ayam kampung dan hitam merupakan permulaan yang baik dalam usaha menambah bekalan situasi kekurangan ayam segar di Singapura.
Encik Sim berkata: "Ia menunjukkan bahawa terdapat sedikit peningkatan oleh pihak Malaysia dan saya percaya situasinya akan bertambah baik."
Encik Ilmi pula menjangkakan ia mungkin mengambil masa kira-kira dua hingga tiga hari untuk penjual ayam dan pelanggan memberi respons terhadap berita terbaru ini.
"Tetapi saya rasa ia merupakan langkah yang sesuai dan saya bersyukur," katanya.