ASATIZAH setempat mempunyai peranan strategik untuk mencorak hidup keagamaan, terutama dalam masyarakat majmuk seperti di Singapura.
Justeru, asatizah perlu kekal komited dalam mempertahankan keharmonian agama serta perpaduan sosial, kata Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram.
"Asatizah adalah tokoh contoh yang diperhatikan oleh anggota masyarakat yang lain.
"Jika kita, asatizah, tidak menunjukkan dukungan penuh terhadap Kod Etika (Asatizah) yang telah diusahakan oleh golongan asatizah sendiri, maka percayalah bahawa masyarakat kita tidak akan mampu bergerak ke hadapan dalam pengamalan keagamaan mereka," kata Dr Fatris.
Menurut Dr Fatris, Kod Etika Asatizah di Singapura berpandukan 'manhaj wasatiyyah' atau 'konsep kesederhanaan' yang merangkumi "nilai kebersamaan, kepelbagaian, kontekstual dan kredibiliti", yang perlu dijadikan keperibadian golongan asatizah.
Konsep ini juga menekankan peri penting penglibatan asatizah dalam isu rencam yang dihadapi masyarakat di dalam dan luar negeri, termasuk kemiskinan, kesaksamaan sosial, pemanasan udara dan ideologi radikal, ujar Dr Fatris.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat kepada 650 asatizah pada perjumpaan Hari Raya Asatizah yang diadakan di Kelab Temasek semalam.
Dr Fatris juga menggesa ustaz dan ustazah setempat mempertahankan institusi asatizah, yang disifatkannya sebagai aset yang sangat berharga.
Tambahnya, iInstitusi asatizah setempat adalah milik setiap ustaz dan ustazah dan telah berkembang dan mencapai banyak kemajuan saban tahun.
Ini termasuk pelancaran Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) mandatori pada 2017, yang menjadikan kerjaya asatizah sebanding dengan kerjaya lain yang menyumbang kepada negara, katanya.
"Institusi asatizah bukan hanya menjadi sebuah institusi yang perlu dibanggakan oleh masyarakat Islam setempat, tetapi sebenarnya ia sebuah aset yang sangat berharga yang perlu dipelihara, dipupuk dan diperjuangkan oleh setiap individu yang digelar Ustaz dan Ustazah di Singapura ini, kata Dr Fatris.
Dalam pada itu, Dr Fatris juga merujuk kepada Komitmen untuk Melindungi Keharmonian Agama yang dilancarkan pada Persidangan Antarabangsa Mengani Masyarakat Satu Padu (ICCS) yang diadakan di Singapura buat julung-julung kali bulan lalu.
Antara lain, komitmen itu bertujuan menegakkan kebebasan agama, sementara melindungi keharmonian antara agama di Singapura.
Menurut Dr Fatris, golongan asatizah di Singapura, serta tokoh-tokoh agamawan lain, telah memainkan peranan yang sangat strategik demi menjana keharmonian agama di sini dan untuk menjadi contoh di mata dunia.
"Asatizah adalah tokoh contoh yang diperhatikan oleh anggota masyarakat yang lain.
Jika kita, asatizah, tidak menunjukkan dukungan penuh terhadap Kod Etika (Asatizah) yang telah diusahakan oleh golongan asatizah sendiri, maka percayalah bahawa masyarakat kita tidak akan mampu bergerak ke hadapan dalam pengamalan keagamaan mereka."
- Mufti Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram.