MUFTI Besar Mesir, Sheikh Dr Shawki Allam, akan berada di Singapura selama empat hari mulai Sabtu ini bagi Program Pelawat Unggul (DVP) anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Sheikh Dr Shawki merupakan seorang pemimpin Islam dan ulama yang dihormati dan dikenali atas dedikasi dan usahanya ke arah keamanan menerusi pemahaman masyarakat yang pelbagai dan berbeza.
Ini kali pertama beliau, yang dilantik menjadi Mufti ke-19 Mesir pada 2013, mengunjungi Singapura dan juga rantau ini.
Dalam DVP keempat ini, Sheikh Dr Shawki akan menyampaikan ceramah dan berdialog bersama golongan asatizah, pelajar dan pemimpin agama Islam dan bukan Islam serta orang awam berkaitan tema Membangunkan Masyarakat Harmoni di dalam Dunia Pluralistik.
Kemuncak lawatan Sheikh Dr Shawki ialah Ceramah Muis berjudul Membangunkan MasyarakatHarmoni dalam Dunia Pluralistik yang akan dipengerusikan Dr Yaacob.
Ceramah yang menjangkakan kehadiran 500 peserta beragama Islam dan bukan Islam itu akan diadakan Isnin ini (26 Jan) di Hotel Orchard dari 8 hingga 10 malam.
Orang ramai yang berminat menyertai ceramah itu perlu mendaftar di laman www.muis.gov.sg/cms/muisacademy.