Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Mufti: Contohi sifat Nabi dalam hadapi cabaran masa kini

Gesa umat jaga akhlak di media sosial, Islam larang sakiti orang lain
Nov 05, 2021 | 05:30 AM



MUFTI Dr Nazirudin Mohd Nasir menggalak warga Muslim supaya mencontohi sifat Rasulullah saw dan Al-Quran untuk membincangkan, mendekati, mencari huraian serta mendengar pandangan dan perspektif yang berbeza-beza bagi menangani cabaran yang dihadapi hari ini.



Menurutnya, apabila seseorang mula menyakiti hati orang lain dengan bercakap bohong, tuduh-menuduh, menghina orang lain, tidak kira siapa individu sedemikian, ini bermakna individu itu telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam.



"Setiap kali kita mengucapkan selawat ke atas junjungan Nabi saw, kita juga pada masa yang sama mengingatkan diri kita, betapa dekat atau jauh diri kita daripada Rasulullah saw dalam tindakan kita, kata-kata yang kita ungkapkan dan karakter moral kita.



"Semua ini bermula dengan keluarga, pasangan dan anak-anak kita di rumah, serta ibu bapa, teman, rakan sekerja dan masyarakat," ujarnya.



Dr Nazirudin berkata demikian semasa satu majlis Maulidul Rasul di Masjid Al-Falah, semalam.



Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



Dalam tazkirahnya, Dr Nazirudin turut menyentuh tentang bagaimana di media sosial, ada sesetengah pengguna yang menyakiti orang lain dengan kata-kata serta tindakan mereka.



"Seorang warga Islam yang baik ialah apabila orang lain tidak rasa sakit hati dan selamat daripada kata-kata kita.



"Apabila kita fikir tentang ibadah sebagai solat, zakat dan haji, Nabi Muhammad saw berkata, dalam melaksanakan semua keperluan itu, pastikan solat kita tidak menyakiti orang lain.



"Justeru perlu meneliti diri kita lebih-lebih lagi kita kini hidup dalam dunia yang saling terhubung antara satu sama lain," katanya.



Dr Nazirudin turut menyentuh tentang respons sewajarnya daripada seorang Muslim, sedang kita berdepan dengan pelbagai cabaran dalam dunia hari ini, tidak kira daripada segi pandemik, ketidaksamaan sosial ataupun perubahan iklim.



Menurutnya, contoh akhlak Rasulullah saw terpancar sepanjang zaman walaupun sudah lama wafat seperti sangat mengasihi anak yatim, berlemah-lembut, menyintai jiran tetangga dan golongan fakir hingga sanggup berlapar demi berkongsi sebiji kurma.



"Kita berselawat, solat dan membaca Quran tetapi penting untuk menterjemahkan apa yang kita pelajari itu, serta nilai dan tindakannya untuk menunjukkan kita benar-benar faham, menghargai dan memaparkan nilai-nilai murni ini," katanya lagi.



Sementara itu, dalam catatan Facebooknya, Encik Masagos berkata beliau bersyukur majlis Maulidul Rasul itu berlangsung dengan lancar dan selamat, berkat usaha murni pihak masjid, para sukarelawan dan jemaahnya dalam mematuhi Langkah Pengurusan Selamat (SMM).



"Tidak seperti hari-hari sebelum Covid-19 di mana masjid-masjid mengadakan sambutan yang agak besar, tahun ini, sama seperti tahun lepas, sambutan di masjid-masjid kita kini lebih sederhana.



"Namun, ia tetap indah dan bermakna," ujarnya.



Beliau turut melahirkan rasa bangganya terhadap sikap masyarakat Islam dalam menyesuaikan diri dengan perubahan ini.



"Saya amat berbangga melihat bagaimana masyarakat Melayu/Islam kita terus menyesuaikan diri, terutamanya dalam mematuhi norma dan amalan sosio-agama kita," katanya lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >