Subuh
5:34
Syuruk
6:51
Zuhur
12:55
Asar
4:03
Maghrib
6:57
Isyak
8:06
Setempat

KORONAVIRUS

Mufti: Langkah lebih tegas perlu diambil bagi elak penularan

Azan masih terus berkumandang mulai esok dengan seruan agar umat Islam solat di rumah
Mar 17, 2020 | 05:30 AM

KEPUTUSAN Jawatankuasa Fatwa Singapura melanjutkan tempoh penutupan masjid sehingga 26 Mac sejajar dengan langkah serupa yang diambil beberapa negara Timur Tengah dan di rantau ini bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19).

Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir memerhatikan langkah yang diambil negara di Timur Tengah lebih bersifat langkah pencegahan awal berbanding Singapura.

"Kita lihat bahawa perbezaannya adalah, meskipun mereka telah mengeluarkan fatwa, tetapi penularan di dalam masjid mereka mungkin belum berlaku... ia lebih kepada langkah pencegahan awal yang mereka ambil," kata Dr Nazirudin.

Beliau juga memerhatikan beberapa negeri Malaysia juga telah mengeluarkan fatwa supaya masjid di sana di tutup.

"Namun di Singapura kita tahu hakikatnya bahawa terdapat dalam kalangan jemaah kita yang telah dijangkiti virus tersebut dan telah mengunjungi masjid-masjid di sini.

"Maka itu, ia menjadi lebih ketara untuk kita mengambil langkah yang tegas bagi memastikan virus ini tidak menular di Singapura," ujar Mufti.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bagi mengumumkan penutupan masjid-masjid selama lagi sembilan hari dan hanya akan dibuka semula pada 27 Mac.

Solat berjemaah termasuk solat Jumaat juga akan ditiadakan sepanjang tempoh itu.

Menurut beliau, ini merupakan satu langkah penting yang perlu diambil masyarakat Islam di sini dalam membantu mencegah penularan Covid-19 ini.

"Ia adalah tanggungjawab bersama kita sebagai seorang Muslim, bukan hanya menjaga diri kita tetapi juga seluruh masyarakat Singapura.

"Penularan boleh berlaku jika kita abaikan nasihat dan tidak mengambil langkah-langkah yang perlu - ini termasuk datang ke masjid dan menjalankan kegiatan seperti biasa dan berada berdekatan walaupun kita rasa kurang sihat dan sebagainya," tegasnya.

Meskipun masjid akan terus ditutup, Mufti berkata azan masih akan terus berkumandang mulai esok.

Azan akan disesuaikan dengan seruan kepada masyarakat supaya melaksanakan solat di rumah dengan tambahan lahfaz yang bermaksud "solatlah kamu di rumah-rumah kamu".

Ini menurut Mufti lagi adalah "agar kita dapat meneruskan syiar agama dengan memberikan kententeraman kepada masyarakat Islam di sini."

"Walaupun masjid ditutup tetapi kerohanian dan hubungan bersama Allah swt dan tanggungjawab masjid-masjid kepada masyarakat dapat diteruskan dengan cara yang selamat dan penuh bertanggungjawab," tambahnya.

Menjawab keraguan masyarakat berhubung hukum agama berkenaan dosa meninggalkan solat Jumaat, Mufti berkata:

"Mungkin ada dalam kalangan masyarakat kita yang mempunyai kekhuatiran bahawa ia merupakan satu dosa besar dalam Islam jika mereka meninggalkan solat Jumaat selama tiga hari berturut-turut.

"Ada dalam hadis Nabi Muhammad saw yang berkaitan dengan meninggalkan solat Jumaat tanpa sebab dan tanpa keuzuran.

"Kita berada dalam sesuatu keadaan yang kritikal yang memerlukan kita meniadakan solat Jumaat," ujarnya.


TERAP 'NORMA BARU' DALAM MASYARAKAT

SELEPAS PEMBUKAAN MASJID

Muis akan berusaha membuka semula masjid pada Jumaat, 27 Mac dengan langkah-langkah berikut:

- Pemeriksaan fizikal; mereka yang kurang sihat tidak dibenarkan masuk
- Pemeriksaan suhu badan
- Mengambil butir jemaah
- Jemaah perlu bawa sejadah sendiri
- Tidak boleh bersalaman

Muis akan memperkenalkan langkah jarak sosial secara bertahap dengan fokus kepada

- Kurangkan tempoh (ringkaskan khutbah dan solat)
- Kurangkan intensiti (kurangkan program tidak penting)
- Kurangkan jumlah jemaah (merintis solat Jumaat kedua)
* Dalam bahasa Inggeris, langkah DID (reduce Duration, Intensity, Density)

Muis juga sedang meneliti kesan Covid-19 kepada kegiatan di bulan Ramadan, Hari Raya dan ibadah korban

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian