Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Mufti: Muis komited tangani fahaman pelampau dan radikalisme

Jul 07, 2017 | 05:30 AM



SEDANG cabaran menentang fahaman pelampau dan radikalisme kian meningkat dalam era media sosial kini, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) komited akan bekerja keras dengan pelbagai agensi dan rakan kerjanya bagi menangani isu tersebut, kata Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram.



Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di majlis jamuan petang bersama pemimpin berbilang agama anjurannya sempena Aidilfitri di Pusat Harmoni di Masjid An-Nahdhah di Bishan semalam.



Menurut Mufti, beberapa langkah sudah diambil termasuk Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) mandatori yang hanya membenarkan guru agama yang diiktiraf mengajar tentang agama.



Langkah itu memastikan pengajaran yang cenderung pada kelakuan eksklusif, menggalak keganasan atau bertentangan dengan kepentingan negara berbilang budaya dan agama tidak akan disokong dan tiada tempat di sini.



Namun lebih daripada langkah sedemikian, Mufti menarik perhatian beberapa usaha lain yang penting bagi menangani cabaran tersebut seperti usaha berterusan mendidik masyarakat, memupuk rasa kekitaan khususnya di kalangan belia, serta perpaduan kuat di kalangan masyarakat berbilang agama di sini.



Mufti berkata media sosial bukan sahaja tempat anak muda sekarang 'hidup', bermain dan belajar, bahkan wadah bagi kumpulan pelampau cuba 'memancing' mereka dengan naratif dan idea palsu.



"Kita perlu terus mendidik masyarakat kita tentang ajaran Islam sebenar dan memastikan belia kita mempunyai saluran betul untuk menanyakan soalan tentang agama dan mendapatkan bimbingan.



"Muis sedang bekerjasama dengan rakan kerja kami, asatizah muda yang mahir gunakan media sosial, yang telah berusaha mendekati belia dalam dunia maya," katanya.



Selain itu, Mufti turut menekankan pentingnya memupuk rasa kekitaan di kalangan belia.



Ini lebih-lebih lagi kerana menurut beliau, kajian menunjukkan belia yang radikal merupakan mereka yang rasa amat tersisih dan ingin mencari erti di alam maya.



"Kita harus menyediakan wadah buat belia merasakan bahawa ada tempat bagi mereka (dalam masyarakat dan negara) dan menyalurkan tenaga mereka kepada sesuatu yang positif menerusi penyertaan bermakna," ujar Mufti.



Beliau turut menarik perhatian pentingnya pemimpin antara agama terus berdiri padu dalam menghadapi ancaman pengganasan.



Tambahnya, perpaduan antara agama sebegitu membolehkan Singapura menangani cabaran yang dihadapinya kini dan membolehkan pemimpin agama di sini membimbing masyarakat masing-masing ke arah keamanan demi negara ini.



Melahirkan hasrat ingin melihat rasa saling percaya dan perpaduan itu berterusan sehingga generasi seterusnya, Mufti berkata:



"Satu golongan khusus yang perlu kita beri perhatian bersama ialah golongan belia.



"Generasi muda harus dipersiapkan agar merasakan mereka mempunyai tempat dalam negara dan masyarakat... dan mengambil bahagian untuk membina satu masa depan bersama.



"Sebab itulah dalam majlis ini, kami menekankan kepada ketua agama supaya melibatkan juga pelapis mereka."



Presiden Majlis Gereja Kebangsaan Singapura (NCCS), Biskop Rennis Ponniah, yang turut hadir menyambut baik usaha melibatkan golongan muda dalam majlis itu.



"Ini adalah langkah baik bagi membolehkan mereka lihat sendiri bagaimana perbezaan kepercayaan tidak menghalang kita daripada berkawan... dan menyertai dalam pelbagai kegiatan bersama.



"Dengan pelbagai pandangan yang mereka dengar menerusi media sosial, penting buat mereka diberi peluang berinteraksi antara satu sama lain," ujarnya.



Sementara itu, Venerable Chuan Guan daripada Persekutuan Buddha Singapura pula berkata langkah meneruskan usaha memupuk perpaduan ini daripada pemimpin yang berpengalaman kepada pemimpin muda penting bagi mengekalkan keharmonian di Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >