MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) mengambil langkah berjaga-jaga dan mempunyai pelbagai mekanisme untuk membantu anggota masyarakat mengenalpasti pengumpulan dana yang sah, dan masyarakat Islam digesa merujuk ke laman zakat Muis bagi senarai pusat pengumpulan zakat yang sah, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.
Jika terdapat sebarang keprihatinan mengenai pengumpulan dana zakat, anggota masyarakat boleh menghubungi Muis atau menggunakan pautan di portal zakat Muis, tambahnya semasa menjawab pertanyaan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) dalam satu jawapan bertulis di Parlimen kelmarin.
Encik Zhulkarnain meminta senarai cara yang dapat membantu anggota masyarakat awam untuk mengesahkan pengumpulan dana seperti zakat serta wadah di mana mereka boleh mengemukakan sebarang keprihatinan berkaitan pengumpulan dana atas tujuan agama.
Mengulas lanjut, Encik Tong berkata semua permohonan bagi dana di Singapura bagi tujuan amal dikawal selia di bawah Pesuruhjaya Pertubuhan-Pertubuhan Amal (COC) di bawah Peraturan Amal (Permohonan Pengumpulan Dana bagi Tujuan Setempat dan Luar Negara) 2012.
Peraturan tersebut menyenaraikan tugas dan tanggungjawab pengumpul dana, termasuk memberikan maklumat jelas dan tepat, mengurus dan menggunakan dana yang dikumpul dengan baik, serta menyimpan rekod dana yang diterima dan diagihkan.
"Warga Singapura amat pemurah dalam memberi respons mereka terhadap permohonan yang dibuat bagi tujuan agama, kami menggesa mereka yang ingin menderma agar terus kekal berwaspada dan arif.
"Penderma yang ingin menyokong mana-mana tujuan amal (sama ada atas tujuan agama atau tidak) boleh mengamalkan langkah 'Bertanya, Periksa, Beri'," kata Encik Tong.
Menurutnya, mereka perlu bertanya pengumpul dana soalan asas, contohnya bagaimana wang yang dikumpulkan itu akan digunakan dan sama ada mereka boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai penggunaannya.
Ini selain memeriksa Portal Amal (www.charities.gov.sg) jika pengumpul dana tergolong antara badan amal di Singapura.
Orang ramai juga boleh merujuk kepada laporan tahunan, audit kenyataan kewangan dan maklumat yang telah disiarkan untuk mengesahkan penggunaan dana yang dikumpulkan.
"Jika penderma berasa ragu-ragu atau timbul keprihatinan bahawa pengumpulan dana itu tidak sah, jangan rasa tertekan untuk menderma," kata Encik Tong sambil menambah penderma perlu melaporkan sebarang kes penipuan yang disyaki kepada polis atau memaklumkan COC tentang sebarang isu serius.
"COC ambil serius jika syarat kawal selia di bawah Akta Amal tidak ditepati dan akan menyiasat kes di mana disyaki berlakunya aktiviti pengumpulan dana yang tidak wajar dan dilaporkan kepada COC.
"Ia juga boleh mengambil langkah untuk menyekat atau menghalang permohonan dana jika timbul keprihatinan bahawa ia dilaksanakan secara tidak wajar," katanya.