INSIDEN TEMBAKAN DI CHRISTCHURCH, NEW ZEALAND

Muis: Muslim S’pura kutuk serangan, idea ekstrem tidak boleh berakar di sini

MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis)  melahirkan rasa sedih atas kejadian tragik di Christchurch, New Zealand.

Menerusi laman Facebook mereka semalam, Muis berkata mereka dan masyarakat Islam Singapura berdiri padu dengan masyarakat lain mengutuk tindakan pengganasan ini.

Dalam pada itu, Muis turut menggesa semua warga Singapura terus bersatu padu dan kekal berdaya tahan, sedang mereka menolak idea ekstremis di sebalik serangan di Christchurch itu.

"Ini tidak harus berakar umbi di Singapura.

"Kami mendoakan agar mereka yang terselamat dan keluarga mangsa diberikan kekuatan ketika waktu yang mencabar ini," kata Muis.

Sementara itu, menerusi laman Facebook mereka, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) turut mengecam tindakan serangan yang kejam di rumah ibadah.

Pergas menekankan bahawa perbuatan membunuh insan yang tidak bersalah sama seperti serangan terhadap kemanusiaan, sebagaimana yang disebut dalam agama Islam.

Pergas turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

"Kami menggesa semua orang berdoa bagi keamanan dan kesejahteraan saudara Islam kita di New Zealand dan berdiri padu bersama mereka.

"Muslim di Singapura juga harus terus bersyukur bagi hubungan aman yang kita nikmati di negara ini serta menghargai kehidupan harmoni yang terus dinikmati," kata Pergas.

Melahirkan ucapan takziah kepada warga New Zealand, Pengerusi AMP, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata:

"Tragedi ini mengingatkan warga setempat tentang peri pentingnya usaha mengekalkan dan memelihara keharmonian antara kaum dan agama di sini dengan menjalin dialog antara agama bagi membina hubungan yang lebih kukuh di kalangan masyarakat serta tidak membiarkan ideologi kebencian memecah-belahkan kita."

Mengecam keras serangan di New Zealand itu, Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan) Amrin Amin menyifatkannya sebagai kejam dan tidak berhati perut.

"Saya harap penduduk New Zealand diberi kekuatan dan ketabahan serta kepada kita semua juga - kejadian ini boleh berlaku di mana-mana!" ujarnya menerusi laman Facebook beliau.


PM LEE AMAT TERKEJUT DENGAN SERANGAN

"Berasa amat terkejut dengan serangan pengganas di dua masjid di Christchurch. New Zealand berada jauh daripada pergolakan dan gelora di Timur Tengah, dan jauh dari Asia Tenggara dan kumpulan pengganasnya, namun ia tetap mengalami serangan ini. Ia satu peringatan sayu bahawa keganasan tetap menjadi ancaman serius di seluruh dunia, dan bahawa Singapura mesti sentiasa berwaspada dan bersedia. Perbuatan itu adalah satu percubaan untuk menyebarkan rasa takut dan kebencian, dan mewujudkan perpecahan dalam masyarakat. Kita perlu memberikan respons secara bersatu, tabah dan berdaya tahan. Saya menulis kepada PM New Zealand Jacinda Ardern untuk mengucapkan takziah yang paling mendalam kepada keluarga mangsa. Singapura berdiri bersama rakyat New Zealand mengutuk tindakan ganas seperti ini."
- Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam pos Facebook semalam.

MASAGOS DUKACITA, KUTUK SERANGAN GANAS

"Berita tentang insiden tembakan rambang ke atas para mangsa di dua masjid di Christchurch New Zealand amat menyentakkan saya. Banyak jiwa yang tidak bersalah menjadi korban serangan tidak berperikemanusiaan itu termasuk wanita, kanak-kanak dan warga tua. Ramai yang lain pula tercedera. Saya mengutuk sekeras-kerasnya serangan ini yang tidak berasas langsung. Tidak kira siapa sahaja yang melakukannya, serangan ganas atas orang awam harus dikutuk. Kita turut berdukacita dan bersatu hati dengan rakan-rakan kita di New Zealand sedang mereka mengharungi musibah ini. Insiden malang ini juga suatu peringatan buat kita di Singapura supaya kekal bersatu, dan tidak mengambil ringan keamanan dan keharmonian yang kita nikmati di negara kita."
- Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.