Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Muis akan agih lebih $4j hasil pendapatan wakaf kepada benefisiari

Aug 04, 2021 | 07:52 PM



MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) akan mengagihkan lebih $4 juta daripada pendapatan yang diraih daripada hasil pendapatan wakaf kendaliannya kepada pelbagai benefisiari tahun ini.



Ini meskipun hasil pendapatan wakaf yang berkurangan akibat pandemik Covid-19 sekarang yang mempunyai kesan besar terhadap ekonomi serta menjejas banyak perniagaan termasuk para penyewa hartanah wakaf.



Menurut kenyataan pada Rabu (4 Ogos), Muis segera bertindak dengan memberi pengagihan khas kepada perniagaan dan pertubuhan Muslim, serta memadankan langkah bantuan yang diberi pemerintah seperti penge cualian sewa, rebat cukai hartanah dan geran tunai.



Ketua Eksekutif Muis, Encik Esa Masood, berkata Muis dapat mengembangkan wakaf kendaliannya lebih enam ganda sepanjang 20 tahun lalu, daripada $150 juta pada 2000 kepada lebih $900 juta tahun lalu.



“Ini menunjukkan wawasan pemimpin agama dan masyarakat kita selama ini untuk membangunkan bimbingan agama yang diperlukan serta menghasilkan rancangan untuk memastikan wakaf kita terus memberi manfaat kepada masyarakat serta dikembangkan untuk memberi penghormatan kepada niat mulia dermawan dan penderma yang telah menubuhkan wakaf itu.



“Muis akan terus bekerja keras untuk memastikan wakaf kita dapat diuruskan dan ditadbirkan dengan baik berdasarkan kewajipan statutori dan agama kami,” ujar Encik Esa.



Daripada sejumlah $4,018,273 yang diagihkan tahun ini, $2,936,016 akan disalurkan kepada benefisiari setempat manakala bakinya sebanyak $1,082,257 akan disalurkan kepada benefisiari asing.



Menurut Muis, enam madrasah sepenuh masa di sini serta madrasah sambilan di masjid akan menerima $464,884 termasuk hasil daripada Wakaf Ilmu yang ditubuhkan bagi manfaat pendidikan agama Islam di sini.



Pengagihan ini akan menyokong program dan inisiatif madrasah membangunkan pemimpin agama akan datang di Singapura.



Sebanyak $1,458,104 pula akan diagihkan kepada sektor masjid termasuk membiayai keperluan operasi masjid seperti kerja peningkatan dan ubah elok. Antara masjid yang menerima sokongan sedemikian termasuk Masjid Jamae Chulia dan Masjid Khalid.



Bagi menggalak peningkatan kemahiran dan pembangunan asatizah di masjid-masjid, sebanyak $200,000 daripada Dana Pembangunan Asatizah Masjid (MADF) – yang dibentuk hasil agihan wakaf – akan diperuntukkan bagi melatih asatizah di masjid menjadi naib kadi yang lebih menyeluruh di bawah program 'Bersamamu Naib Kadi'.



Asatizah di bawah program itu akan dilengkapi dengan kemahiran bimbingan dan kaunseling perkahwinan.



“Oleh kerana masjid memainkan peranan penting sebagai nadi utama dalam masyarakat untuk memenuhi ehwal agama mereka, program ini akan mengukuhkan lagi unit keluarga dan menjadi asas penting bagi perkahwinan Muslim dalam masyarakat,” kata Muis.



Tambahnya, terdapat rancangan pada masa akan datang untuk menggunakan dana itu untuk menyokong laluan kerjaya asatizah di bawah Pelan Peningkatan Kemahiran Asatizah yang sedang dibangunkan.



Sebanyak $285,826 juga akan diagihkan kepada 26 pertubuhan Muslim termasuk Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Club Heal, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), rumah tumpangan Pertapis dan Persatuan India Muslim Bersatu (Uima) untuk menyokong pelbagai keperluan sosial masyarakat Muslim.



Pengagihan ini bertujuan menyokong pertubuhan Muslim, khususnya badan amal yang berkhidmat dalam tujuan sosial yang menyokong pelbagai keperluan masyarakat.



Dalam pada itu, Muis berkata lebih banyak usaha perlu dijalankan untuk memastikan kemampanan jangka panjang institusi seperti masjid dan madrasah agar masyarakat akan kekal berdaya tahan dalam memenuhi keperluan agamanya walaupun sedang menghadapi krisis.



Jawatankuasa penasihat Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) juga telah memberi saranan mereka berhubung strategi untuk menyokong institusi agama, pembangunan asatizah dan program masyarakat.



Muis sedang mengkaji saranan itu dan akan memberi maklumat lanjut kelak.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >