Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Muis arah henti import daging halal dari loji penyembelihan Australia

Siasatan dapati alasan kukuh loji berkenaan, Thomas Foods International Lobethal, langgar prosedur penyembelihan halal * Menurut Muis, bekalan daging halal di sini tidak banyak terjejas
Jun 01, 2022 | 05:30 AM



MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) telah mengarahkan para pemilik sijil halal setempat supaya tidak menggunakan dan mengimport produk daging dari loji penyembelihan Australia, Thomas Foods International Lobethal (TFIL), dengan serta-merta.



Ini kerana ia mempunyai alasan kukuh untuk merumuskan bahawa loji penyembelihan itu telah melanggar prosedur penyembelihan halal, kata Muis dalam satu kenyataan semalam.



Muis menjelaskan, keputusan tersebut diambil berikutan siasatan yang dijalankan dengan beberapa pihak terbabit.



Bulan lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menggantung kelulusan loji penyembelihan TFIL sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperolehi.



Muis, dalam kenyataannya, berkata:



"Muis, selepas siasatan dijalankan dengan pelbagai pihak yang terlibat, telah mengarahkan pemilik sijil halal supaya dengan serta-merta, menghentikan penggunaan dan import produk daging dari loji penyembelihan luar negara, TFIL, kerana ia mempunyai alasan kukuh untuk merumuskan bahawa integriti daging halal di loji itu telah terjejas.



"Dapatan kami adalah berdasarkan fakta dan maklumat daripada pihak berkuasa yang cekap."



Menurut kenyataan Muis lagi, ia juga sedang berhubungan dengan pemegang sijil yang telah mengimport daging dari TFIL agar mendapatkan bekalan halal alternatif.



Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Muis berkata import dari TFIL menyumbang kepada hanya sebahagian daripada keseluruhan daging halal dari Australia.



Secara keseluruhan, bekalan daging halal kepada perniagaan yang diiktiraf halal oleh Muis tidak terjejas teruk.



Muis berkata setiap loji penyembelihan mempunyai nombor loji yang unik. Dalam hal ini, produk daging TFIL mempunyai nombor loji AU866.



"Apabila membeli produk daging dari pasar raya, pengguna Muslim boleh mengelak daripada membeli barangan daging yang datang dari loji AU866 (yang tertera di produk daging)," terang Muis, menjawab pertanyaan BH.



Dalam pada itu, BH telah menghubungi syarikat TFIL, Jakim dan Majlis Islam Tertinggi bagi Daging Halal di Australia (SICHMA) - iaitu badan yang memberikan sijil halal kepada TFIL - untuk mendapatkan respons.



Namun, BH belum menerima sebarang jawapan sehingga akhbar ini dicetak.



Dalam temu ramahnya dengan wartawan BH pula, saksi utama yang membuat pendedahan awal mengenai keadaan di loji penyembelihan itu - seorang warga Somalia yang ingin dikenali sebagai Abdullah - menjelaskan proses penyembelihan yang diautomasi telah menyukarkan loji itu untuk menjamin prosedur halal dipatuhi sepenuhnya.



Ini termasuk memastikan penyembelihan dilakukan seorang Muslim.



Sebagai langkah seterusnya, Muis, dalam kenyataannya, berkata ia akan menjalankan pemeriksaan untuk memastikan para pemegang sijil halal mematuhi arahannya.



Ia menekankan bahawa sebarang bekalan yang tidak mematuhi peraturan halal adalah melanggar piawaian halal Muis.



Ia menekankan sekali lagi komitmennya dalam memenuhi keperluan pemakanan masyarakat Islam setempat.



"Muis amat komited untuk memastikan integriti bekalan makanan halal kepada masyarakat Islam Singapura," kata Muis, dalam kenyataannya semalam.



Bulan lalu, Muis mengatakan bahawa ia sedang bekerjasama dengan Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk mendapatkan maklumat relevan daripada Jabatan Pertanian, Air dan Sekitaran (DAWE) Australia.



Siasatan Muis dijalankan selepas Muis dan Jakim menggantung kelulusan loji penyembelihan di Australia itu.



Menurut kenyataan Muis, loji penyembelihan TFIL diiktiraf SFA untuk mengeksport daging ke Singapura dan berdasarkan pemeriksaan SFA, import yang dilakukan ke sini telah mematuhi keperluan keselamatan makanan.



Ia menambah bahawa daging yang disembelih dan/atau diproses di loji penyembelihan tersebut diberi pensijilan halal oleh SICHMA, yang disenaraikan sebagai salah satu Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB) di bawah rangka kerja yang diiktiraf sebelum ini.



Badan itu telah membuat permohonan baru bagi pengiktirafan di bawah rangka kerja FHCB Muis yang dipertingkat dan diperkenalkan baru-baru ini dan Muis sedang menimbangkan permohonan itu.



Jika hasil siasatan menunjukkan terdapat salah laku oleh SICHMA, Muis mungkin mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui permohonan SICHMA bagi pengiktirafan FHCB-nya. - Laporan tambahan oleh FARID HAMZAH di S'pura dan BASIR SISWO di KL.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >