Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

EHWAL MASYARAKAT ISLAM

Muis bentuk jawatankuasa lakar rancangan pembangunan asatizah

Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa) dibentuk untuk dapat maklum balas masyarakat; bimbing Muis mulakan pelbagai usaha kukuhkan sektor agama; terdiri daripada pemimpin agama dan masyarakat, asatizah, individu serta pakar akademik
Mar 09, 2019 | 05:30 AM



ASATIZAH boleh menjangka lebih banyak sokongan diberikan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam usaha membangunkan kerjaya mereka.



Malah, sokongan tambahan itu akan bermula semasa mereka masih menjalani pengajian untuk menjadi asatizah.



Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa) akan ditubuhkan untuk mendapat maklum balas daripada masyarakat dan membentuk rancangan pembangunan asatizah.



Bermula tahun depan, Muis juga akan memperkenalkan program sijil pos siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS), antaranya untuk memberi konteks pengamalan Islam di Singapura dan menambah keupayaan asatizah dalam bidang di luar sektor agama.



Bagi menyokong pelajar yang memburu ijazah bidang agama di luar negara, Pegawai Perhubungan Pelajar (SLO) pula akan dilantik untuk membantu mereka bersedia bekerja di Singapura.



Menyertai perbahasan di Parlimen berkenaan usaha memperkukuh teras keagamaan masyarakat Melayu Islam, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, berkata keperluan sosial dan agama masyarakat Melayu/Islam sedang berubah dan asatizah perlu kekal relevan dan memiliki pengetahuan agama dan kemahiran bekerja yang kukuh.



"Kami mempunyai visi kukuh bagi sektor agama, yang membuka lebih banyak peluang kepada asatizah untuk memenuhi keperluan masyarakat kita, serta masyarakat yang lebih luas," ujar Dr Maliki, semasa memberi perincian lanjut tentang Cofa.



"Memandangkan persekitaran yang kompleks dan kian berubah, asatizah kita harus kekal relevan. Saya yakin usaha Cofa akan membimbing Muis sedang ia memulakan pelbagai usaha penting untuk mengukuhkan sektor agama kita," tambah beliau.



Menurut Dr Maliki, Muis menubuhkan Cofa supaya dapat lebih memahami keperluan masyarakat Melayu/Islam yang berubah, menghadapi cabaran baru dan mendengar maklum balas masyarakat, dalam usaha mempersiap asatizah bagi masa depan.



Ia juga adalah langkah penting dalam membentuk Kolej Islam Singapura - institusi pengajian Islam tinggi peringkat nasional pertama di Singapura, yang diumumkan beberapa tahun lalu.



"Jawatankuasa Cofa terdiri daripada mereka yang tampil berkhidmat kepada masyarakat, termasuk pemimpin agama dan masyarakat, asatizah mapan mahupun yang lebih muda, serta individu dan akademik yang pakar dalam bidang kerja sosial serta pendidikan dan latihan berterusan," kata Dr Maliki.



"Dalam beberapa bulan mendatang, anggota Cofa akan mendekati segenap lapisan masyarakat, dan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan seperti pelajar madrasah serta ibu bapa mereka, para majikan, golongan asatizah dan masyarakat umum," tambah beliau, yang dilantik untuk mempengerusikan COPA.



PCICS pula menggantikan Sijil Pengajian Islam Mengikut Konteks - program empat minggu anjuran Akademi Muis yang sejak 2017, perlu dijalani asatizah sebelum mendapat pentauliahan Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).



Selain membimbing asatizah dalam hal mengajar dan mengamalkan Islam dalam konteks Singapura, program PCICS selama setahun itu juga bertujuan mempersedia asatizah menceburi bidang kerjaya di luar agama.



Dalam pada itu, tiga SLO telah dilantik Pejabat Kerjaya dan Kebajikan Pelajar Muis (SCWO) untuk berkhidmat di Kahirah, Mesir, Jeddah, Arab Saudi dan Singapura.



Dua SLO di Timur Tengah akan memberi sokongan kepada pelajar yang menuntut di Timur Tengah dan Afrika Utara, sementara SLO di Singapura akan berkhidmat kepada sekitar 300 pelajar di Asia Tenggara.




"Asatizah kita bak sauh yang membantu masyarakat kita berpegang kepada nilai-nilai murni dan tradisi kita dalam dunia yang berubah pesat. Dari sudut ini, keperluan sosial dan agama masyarakat kita sedang berubah dan asatizah kita perlu kekal relevan dan memiliki pengetahuan agama dan kemahiran yang relevan bagi pasaran kerja untuk berkhidmat dengan baik kepada masyarakat."
- Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, di perbahasan tentang peri penting mempertingkat dan memperkukuh upaya asatizah untuk menghadapi cabaran masa depan.




SEKILAS PENGUMUMAN BAGI EHWAL MASYARAKAT ISLAM



PELUASAN M³@BANDAR



- Projek dilanjutkan ke enam bandar: Bedok, Chua Chu Kang, Jurong, Marsiling-Yew Tee, Nee Soon dan Woodlands



- Bertujuan menghubungkan penduduk dengan pelbagai khidmat di estet perumahan sendiri



- Rintis peluang bagi penduduk memberi sumbangan kepada jiran



MEMPERKUKUH PENGAJIAN ISLAM



- 26 pelajar dalam kohort pertama di Madrasah Aljunied bagi Program Diploma International Baccalaureate (IB)



- Muis rasmi kerjasama dengan Madrasah Wak Tanjong, perkukuh pentadbiran dan program pendidikan



- Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari bermula 2020, persiap siswazah dari universiti asing untuk berkhidmat dalam sektor agama di sini



- Jawatankuasa Asatizah Masa depan (Cofa) dibentuk, kumpul maklum balas masyarakat bagi bentuk keupayaan asatizah



- Pegawai Perhubungan Pelajar (SLO) perluas sokongan Muis bagi pelajar Singapura di Timur Tengah, Afrika dan Asia Tenggara



SEMAI CINTA PEMBELAJARAN



- Mendaki dilantik Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) untuk mendekati ibu bapa kanak-kanak usia 4-6 tahun yang belum dimasukkan ke prasekolah



- PlayKit, yang bertujuan menggalak hubungan ibu bapa dengan anak menerusi projek kraf tangan, dilancar



- KelasMateMatika@CC diperluas ke Admiralty, Boon Lay, Chua Chu Kang, Keat How dan Woodlands, untuk memupuk keupayaan matematik dalam kalangan kanak-kanak dan ibu bapa



- Projek rintis program memperkasa belia bakal dilancar pada suku kedua 2019, bertujuan memberi bimbingan kerjaya kepada pelajar Melayu/Islam di Institut Pendidikan Teknikal (ITE)



- Jawatankuasa baru akan dihimpun untuk menyemak kriteria yang digunakan untuk memilih penerima Anugerah Mendaki



- Bulan Raikan Ilmu akan diadakan untuk menggalak pembelajaran dan kecemerlangan




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >