Subuh
5:36
Syuruk
6:53
Zuhur
12:57
Asar
4:02
Maghrib
7:00
Isyak
8:08
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Muis harap program celik digital dekati seberapa ramai warga emas

Apr 01, 2021 | 05:30 AM

MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) berharap dapat mendekati seramai mungkin warga emas menerusi Program Transformasi Digital untuk Warga Emas yang diumumkan baru-baru ini supaya mereka dapat menimba kemahiran digital, kata Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen Mohamed.

Dengan pelbagai khidmat dan program kini ditawarkan menerusi aplikasi telefon bimbit dan wadah dalam talian, terutamanya semasa pandemik Covid-19 ini, Encik Kadir berkata program itu diharapkan dapat melengkapi warga emas dengan pengetahuan yang membolehkan mereka mengemudi dunia digital dengan penuh yakin.

Program itu diperkenalkan untuk membolehkan warga emas belajar menggunakan pelbagai aplikasi telefon bimbit, membuat tempahan bagi ruang solat di masjid dan khidmat digital lain.

Inisiatif itu adalah hasil kerjasama Yayasan Rahmatan Lil 'Alamin (RLAF) dengan masjid-masjid di sini.

Menurut Encik Kadir, program itu kini diadakan di 13 masjid dan sehingga kelmarin telah disertai lebih 1,000 warga emas.

Ini termasuk Masjid Al-Muttaqin, Masjid Darul Makmur, Masjid En-Naeem, Masjid Al-Istighfar, Masjid Darul Ghufran, Masjid Al-Iman, Masjid Al-Mukminin, Masjid Ar-Raudhah, Masjid Assyakirin, Masjid Hasanah, Masjid Maarof, Masjid Al-Amin dan Masjid Mujahidin.

Sebelum ini, program itu dirintis di Masjid Al-Istighfar, Masjid Al-Mukminin, Masjid Assyakirin dan Masjid Darul Ghufran dari 7 hingga 11 Mac lalu.

Terdapat sekitar 30 relawan RLAF yang terlibat dalam program itu kini, dengan mereka disokong duta Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

"Kami tidak ada sasaran tetapi kami mahu mendekati seramai mungkin warga emas. Kami mahu warga emas terdedah kepada penggunaan telefon bimbit bijak, belajar bagaimana menggunakan pelbagai aplikasi telefon bimbit, terutamanya kerana bagi masyarakat Melayu/Islam, terdapat aplikasi tempahan untuk ruang solat di masjid.

"Semasa Ramadan ini, tempahan ruang solat itu akan dilanjutkan untuk solat tarawih dan qiamullail. Oleh itu, jika mereka tahu bagaimana menggunakan aplikasi ini, mereka boleh membuat tempahan secara berdikari," kata Encik Kadir kepada Berita Harian ketika ditemui di bengkel program itu yang diadakan di Masjid Hasanah di Teban Gardens semalam.

Selain belajar menempah ruang solat secara dalam talian, warga emas berpeluang belajar menggunakan aplikasi lain seperti TraceTogether dan SingPass, membuat bayaran secara dalam talian dan meraih pengetahuan tentang keselamatan siber menerusi bengkel yang diadakan.

Encik Kadir berkata sambutan semasa fasa perintis program itu amat positif, dengan ramai warga emas tertarik meraih pengetahuan baru tentang keselamatan siber dan menggunakan aplikasi persidangan video seperti Zoom.

Dengan ilmu yang ditimba itu, warga emas yang tidak dapat datang ke masjid juga kini boleh menonton kuliah dan ceramah agama menerusi platform seperti Facebook.

"Sejajar dengan apa yang diumumkan untuk Ramadan ini, masyarakat boleh mengikuti lebih banyak kandungan agama oleh masjid secara dalam talian. Kami mahu memastikan warga emas tidak ketinggalan. Ramai yang teringin datang ke masjid, tetapi mereka tidak akan ketinggalan kerana mereka masih boleh mengikuti kegiatan di dalam talian," kata beliau.

Peserta warga emas yang ingin lebih mengetahui tentang teknologi akan dihubungkan dengan pegawai IMDA di kelab masyarakat untuk mendapatkan bantuan lanjut.

Encik Kadir berkata Muis akan bekerjasama dengan RLAF dan IMDA untuk melanjutkan program digital itu kepada lebih banyak masjid di serata negara, dan masyarakat juga boleh menjangkakan lebih banyak pengalaman digital yang dipertingkat pada masa depan.

Antara peserta program itu ialah Cik Faridah Beebee Moulana Abdul Kader, 63 tahun, yang berkata program itu memang baik untuk warga emas.

"Melalui sesi hari ini, saya pelajari cara menggunakan wadah Zoom untuk mengikuti kelas agama dalam talian. Saya baru tahu yang saya boleh pilih untuk menghidupkan kamera dan mikrofon atau tidak. Saya juga belajar cara membuat tempahan untuk solat di masjid. Ia boleh dilakukan dalam masa kurang lima minit. Mula-mula memang kita rasa susah tapi lama-lama ia jadi mudah," kata beliau.

Seorang lagi peserta, Encik Ibni Mahmod, 73 tahun, pula berkata:

"Program ini antara lain mengajar saya untuk mengenal pasti panggilan mana yang tidak sepatutnya saya jawab. Kalau saya lihat nombor telefon yang bermula dengan '+' atau yang nombornya terlalu panjang, baik saya tidak jawab."

Mereka yang ingin menyertai program digital ini boleh mendaftar di laman http://tinyurl.com/slots4seniors.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3