Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Muis kenal pasti asatizah dipersiap jadi pemimpin masa depan

May 26, 2021 | 05:30 AM



MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) telah mengenal pasti beberapa asatizah yang mempunyai potensi tinggi untuk dipersiap menjadi pemimpin masa depan menerusi pelbagai program dan inisiatif.



Mereka yang dipilih termasuk pelajar dan mahasiswa sehingga ke asatizah profesional yang sedang bekerja di sektor agama.



Sehingga kini, Muis telah mengenal pasti 10 peratus daripada kalangan asatizah Tahap 1 Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) untuk menjalani pelbagai program dan inisiatif itu.



Inisiatif pengurusan bakat dan pembangunan kepimpinan ini merupakan sebahagian Program Pembangunan Bakat dan Kepimpinan Agamawan (RLTD) di bawah Pelan Pembangunan Tenaga Kerja Asatizah (AWDP).



Menurut Muis, inisiatif RLTD akan dilaksanakan secara bertahap dalam tahun-tahun akan datang.



Ia telah dimulakan dengan dua sesi perbincangan tidak formal bersama pemimpin agama untuk membantu bakat yang terpilih membina hubungan, serta mendapatkan perspektif baru mengenai isu sosioagama kontemporari.



Sejak beberapa bulan lalu, seramai 18 bakat asatizah daripada madrasah, masjid, Muis dan selain itu telah mengambil bahagian dan lebih banyak sesi sebegitu bakal dianjurkan.



Menurut Muis, maklum balas sejauh ini positif.



"Inisiatif di bawah RLTD yang akan datang termasuk mentoring, di mana bakat asatizah boleh menantikan dipasangkan bersama pemimpin dari sektor agama dan sektor lain.



"Latar belakang mentor kami yang pelbagai akan membantu memperluas pendedahan bakat asatizah kami, serta memperluas rangkaian mereka merentas sektor berbeza," kata Muis.



Inisiatif ini akan dirintiskan pada suku ketiga tahun ini.



Di samping itu, Muis juga sedang merancang program eksekutif kepimpinan tahunan pada 2022 untuk memberikan lebih peluang kepada asatizah yang telah dikenal pasti untuk mendekati pemimpin, pemegang jawatan politik, penggubal dasar dan akademik.



Ini supaya mereka dapat memperdalam pemahaman dan penghargaan terhadap isu masyarakat dan mewujudkan huraian bersama.



"Bakat asatizah di bawah RLTD akan mempunyai peluang untuk didedahkan kepada jenis kerja berbeza di dalam dan merentas sektor berbeza-beza.



"Menerusi ini, asatizah kami akan dilengkapi dengan kecekapan dan kemahiran yang diperlukan untuk memegang kedudukan kepimpinan, serta meraih pendedahan dan pengalaman tentang jenis pekerjaan berbeza di dalam dan di luar sektor keagamaan," tambah Muis.



Untuk mempertingkat kemahiran asatizah secara amnya, Muis di bawah insiatif SG Teguh Bersatu juga telah mengetepikan $1 juta dalam bentuk kredit latihan bagi kesemua 4,900 asatizah ARS supaya mereka dapat menghadiri kursus untuk mempersiapkan diri mereka dalam suasana pandemik dan norma baru pascapandemik.



Dalam pada itu, Muis mulai bulan depan akan menganjurkan seminar sebelum Persidangan Antarabangsa Masyarakat Berjaya (ICCOS) untuk memperdalam pendekatan dan kerjasama bersama masyarakat Islam serata dunia.



Seminar pertama yang akan diadakan dalam talian 15 Jun ini, membincangkan respons masyarakat terhadap pandemik Covid-19 dan bagaimana warga Islam telah menyesuaikan kehidupan keagamaan mereka.



ICCOS yang dirancang untuk diadakan tahun depan, akan menggalakkan lebih pendekatan dan kerjasama antara cendekiawan agama, pegawai negeri dan pemimpin masyarakat, kata Muis.



Muis berkata terdapat 55 pelajar yang menjalani program Sijil Possiswazah Islam Dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang bermula April tahun lalu.



Ia bertujuan mempersiapkan asatizah yang pulang ke Singapura selepas melengkapkan pengajian agama di luar negara dan ingin menceburi pekerjaan dalam sektor agama di sini.



Seramai 30 pelajar pula mendaftar untuk pengambilan kedua Oktober lalu.



Kebanyakan pelajar daripada pengambilan pertama ditempatkan sama ada di Program Pengalaman Bekerja (WEP), projek berdasarkan kerja atau program bekerja sambil belajar.



"Penempatan ini berbagai-bagai, termasuk kedudukan dalam khidmat sosial, khidmat berkaitan pendidikan, penyelidikan, perhubungan dan pemasaran serta dakwah di masjid," tambah Muis.




Inisiatif di bawah RLTD (Program Pembangunan Bakat dan Kepimpinan Agamawan) yang akan datang termasuk ‘mentoring’, di mana bakat asatizah boleh menantikan dipasangkan bersama pemimpin dari sektor agama dan sektor lain. Latar belakang mentor kami yang pelbagai akan membantu memperluas pendedahan bakat asatizah kami, serta memperluas rangkaian mereka merentas sektor berbeza.
– Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam kenyataannya.




SEKILAS INISIATIF MEMPERSIAPKAN ASATIZAH CEKAP DAN SEDIA MASA DEPAN



  • Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan memperkenalkan rangka kerja Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) yang dipertingkat mulai suku keempat tahun ini. Rangka kerja yang dipertingkat ini atau CPE 2.0 ini akan dilaksana dengan memanfaatkan skim CPE sedia ada. Ia akan mempunyai empat ciri utama seperti integrasi, kualiti, kerelevanan dan aksesibiliti.

  • Muis telah mengetepikan $1 juta dalam bentuk kredit latihan bagi kesemua 4,900 asatizah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) supaya mereka dapat menghadiri kursus kemahiran yang telah dikenal pasti sebagai penting dalam membantu asatizah menyesuaikan diri kepada pandemik dan norma baru selepas pandemik

  • Di bawah program Pembangunan Bakat dan Kepimpinan Agamawan (RLTD), dua perbincangan diadakan bersama pemimpin secara tidak formal untuk membantu bakat ini membina hubungan serta mendapat perspektif baru mengenai isu sosioagama kontemporari. Sejak beberapa bulan lalu, sebanyak 18 bakat asatizah daripada madrasah, masjid, Muis dan melebihi itu telah mengambil bahagian.

  • Program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) dilancarkan April tahun lalu dengan 55 pelajar, sementara 30 pelajar mendaftar untuk pengambilan kedua pada Oktober tahun lalu di tengah-tengah pandemik.

  • Mulai bulan depan, Muis akan menganjurkan seminar sebelum Persidangan Antarabangsa Masyarakat Berjaya (ICCOS) untuk memperdalam pendekatan dan kerjasama bersama masyarakat Islam serata dunia. Seminar pertama akan membincangkan respons masyarakat kepada pandemik Covid-19 dan bagaimana masyarakat Islam telah menyesuaikan kehidupan keagamaan mereka.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >