PENGUMUMAN perubahan dasar untuk membenarkan pekerja penjagaan kesihatan Muslim memakai tudung di tempat kerja jika mereka ingin melakukan demikian jelas menunjukkan bahawa pemerintah memahami dan bersikap responsif kepada keperluan dan aspirasi masyarakat, kata Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Esa Masood.
Encik Esa berkata Muis juga akur bahawa ini bukan keputusan yang mudah bagi pemerintah namun berjaya dicapai dengan semangat persefahaman bersama sambil mencari keseimbangan dalam usaha mengekalkan perpaduan sosial.
Beliau berkata demikian semasa mengulas tentang pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Rapat Hari Kebangsaan kelmarin untuk membenarkan jururawat Muslim dalam sektor kesihatan awam memakai tudung dengan seragam mereka jika mereka mahu menerusi sebuah video yang dimuat naik ke laman Facebook Muis semalam.
Menyifatkan pengumuman itu sebagai satu isyarat yang sangat penting, Encik Esa berkata ini tentunya satu tanda kemajuan yang amat dihargai masyarakat Muslim setempat dan ini dapat dicapai hasil keamanan dan keharmonian yang telah dibina bersama selama ini.
"Masyarakat Islam di Singapura bertuah dapat hidup dalam negara sekular dan berbilang budaya yang menghormati keperluan pelbagai kumpulan agama.
"Walaupun berada di negara yang paling pelbagai agama di dunia, kita masih dapat menikmati keamanan dan keharmonian berkat usaha bersama dan sifat tolak ansur semua warga Singapura," ujarnya.
Malah tambahnya, masyarakat Islam di Singapura, dengan sokongan pemerintah, juga dapat menubuhkan dan memelihara banyak institusi penting yang dapat membantu kehidupan beragama masyarakat terus berkembang.
Muis telah bekerja rapat dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan agensi lain untuk memberi pandangan bagi pelaksanaan dasar membenarkan pekerja penjagaan kesihatan Muslim memakai tudung di tempat kerja jika mereka mahu.
Pejabat Mufti juga telah mendekati pelbagai asatizah sejak kali pertama pemerintah memberi isyarat kemungkinan berlakunya peralihan dasar itu.
"Mereka sangat menyokong dan bersyukur akan perubahan ini. Kami amat menghargai usaha gigih MOH untuk mengambil kira maklum balas dan cadangan yang dibangkitkan daripada pelbagai sesi konsultasi," ujar Encik Esa.
Tambahnya, MOH telah mengkaji pelaksanaan dasar ini secara terperinci untuk memastikan pelaksanaan yang lancar.
Encik Esa menarik perhatian bahawa perubahan dasar yang penting seperti ini mungkin akan menghadapi beberapa cabaran dalam fasa pelaksanaannya.
Oleh itu, beliau mengajak masyarakat terus memberi sokongan kepada pekerja penjagaan kesihatan sepanjang pelaksanaan perubahan dasar tersebut.
Ini supaya mereka dapat terus menjalankan tugas mereka dengan penuh profesionalisme dan dedikasi, seperti yang telah mereka lakukan selama ini.
Encik Esa berkata golongan pekerja penjagaan kesihatan ini wajar mendapat sokongan penuh masyarakat bagi pengorbanan besar mereka memerangi Covid-19 dan memastikan kesihatan warga.
Dalam keadaan tidak menentu sekarang, Encik Esa turut mengajak masyarakat meningkatkan usaha mengukuhkan perpaduan melalui persefahaman yang lebih baik. Ini supaya warga negara ini akan kekal bersatu tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama.