MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) tidak berdiam diri setelah menyedari wujudnya salah laku yang dilakukan salah seorang pegawainya yang berkhidmat dalam sektor masjid.
Menurutnya, satu siasatan dalaman dilakukan sebaik ia mengetahui tentang kes berkenaan pada 2019.
Dalam kenyataannya kepada Berita Harian semalam, jurucakap Muis berkata, pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh
"Muis mengetahui tentang kes tersebut pada 2019 dan dengan segera menjalankan siasatan dalaman yang menyeluruh.
"Muis kemudian merujuk kes tersebut kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dan telah menawarkan bantuan sepenuhnya kepada pihak berkuasa," menurutnya lagi dalam kenyataan itu.
Tambah jurucakap Muis itu lagi, pegawai yang sebelum ini bertugas sebagai pengerusi eksekutif di Masjid Darul Aman di Jalan Eunos dan Masjid Sallim Mattar di Mattar Road di kawasan MacPherson, tidak lagi berkhidmat di kedua-dua masjid itu.
Dia telah digantung tugas selama kes di mahkamah.
"Muis meletakkan penekanan mendalam terhadap tadbir urus dan kewibawaan bagi semua pegawainya," katanya lagi dan menambah bahawa Muis tidak akan memberi komen lanjut sebagai menghormati proses undang-undang.