Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Muis komited pastikan tahap tinggi tadbir urus, kebertanggungjawaban

Muis keluarkan kenyataan, surat terbuka bagi sangkal dakwaan tidak berasas terhadapnya
Jul 11, 2021 | 05:30 AM



MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) telah mengeluarkan kenyataan dan surat terbuka bagi menegaskan komitmennya untuk terus menegakkan tahap tertinggi integriti dalam tadbir urus lembaga tersebut tanpa sebarang ruang bagi apa jua bentuk penipuan atau rasuah.



Dalam surat terbuka dan kenyataan yang menjelaskan dan menyangkal beberapa dakwaan tidak berasas terhadap Muis baru-baru ini, Ketua Eksekutif Muis Esa Masood berkata Muis akan terus melindungi dan meneguhkan lagi institusi agama di sini agar dapat terus berkhidmat kepada masyarakat, lebih-lebih lagi dalam tempoh yang rumit dan mencabar sekarang.



Surat terbuka itu diberikan kepada pemimpin masyarakat dan pihak berkepentingan, termasuk pemimpin masjid dan madrasah serta asatizah, untuk menggariskan kedudukan Muis berhubung tadbir urus yang baik dan ketelusan, semalam.



Selain surat terbuka itu, Muis turut mengeluarkan satu kenyataan sebagai respons kepada beberapa dakwaan dalam artikel oleh penulis asing yang mempersoal proses pengurusan kewangan dan tadbir urus di Muis.



"Kebanyakan dakwaan yang diketengahkan telah pun diperjelas Muis sebelum ini melalui kenyataan media dan di Parlimen. Walau bagaimanapun, ini tidak diendahkan atau disebut oleh artikel itu.



"Disebabkan itu, perlu bagi Muis menyangkal tohmahan dan memperjelas kebenaran mengenai dakwaan dalam artikel tersebut," katanya.



Antara lain, Muis sebagai sebuah lembaga berkanun perlu menyerahkan penyata kewangannya yang telah diaudit kepada Parlimen selewat-lewatnya 30 Jun setiap tahun.



Penyata kewangan Muis yang telah diaudit bagi tahun kewangan 2020 telah dikemukakan kepada Parlimen dan juruaudit Muis telah mengeluarkan pendapat audit yang bersih bagi penyata kewangan ini.



Sebagai sebuah agensi awam, Muis juga tertakluk kepada audit yang dilakukan Pejabat Juruaudit Negara (AGO) setiap lima tahun.



Malah berikutan audit pada 2018, Muis membentuk satu pasukan bertindak yang dipengerusikan oleh Ketua Eksekutif Muis untuk mengukuhkan proses pentadbiran Muis.



Sejauh ini, Muis telah melaksanakan semua proses pembaikan hasil dapatan AGO, kecuali satu yang memerlukan pembangunan sistem IT yang baru dan ini dijangka selesai menjelang akhir 2021. Muis juga melaksanakan langkah sementara untuk memperbaiki keadaan.



Muis berkata masjid dan madrasah di sini turut diurus dengan sempurna dan dapat membuat penyesuaian baik sepanjang pandemik Covid-19.



Sepanjang lima tahun lalu, terdapat peningkatan ketara dalam laporan juruaudit, dengan audit yang bersih kini diberi kepada 99 peratus masjid berbanding 77 peratus masjid pada tahun kewangan 2015.



Kewangan masjid dan madrasah di sini kekal stabil walaupun dalam pandemik Covid-19, dengan beralih kepada cara digital antara lain untuk memudahkan sumbangan derma dalam talian.



Muis turut memastikan tadbir urus yang baik bagi zakat sambil memberi khidmat kepada golongan yang mudah terjejas dalam masyarakat, dengan lebih 6,900 isi rumah dibantu melalui zakat tahun lalu.



Dalam pada itu, Muis telah menangani satu kes dakwaan ajaran sesat di mana aduan pertama diterima pada 2015 dan Jawatankuasa Fatwa telah mengeluarkan surat arahan mengerahkan individu itu supaya segera menghentikan khidmat penyembuhan pada 2018.



Selepas membuka semula siasatan apabila timbul maklumat baru mengenai kes tersebut tahun lalu, pasukan penyiasat dan Jawatankuasa Fatwa Muis telah menemu bual mereka yang terlibat dan sedang dalam proses menyelesaikan siasatan. Muis akan berkongsi dapatannya dengan orang awam dalam masa terdekat.



Walaupun dengan sistem dan proses yang baik, Encik Esa akur ada kalanya berlaku kesilapan dan kekurangan.



Oleh itu, sebagai institusi awam, beliau berkata Muis amat menitik beratkan tahap integriti yang paling tinggi bagi semua pegawainya serta piawaian yang sama bagi pemimpin sukarelawan masjid.



"Krisis Covid-19 ini mendorong kami untuk bermuhasabah dan melihat bagaimana kita dapat terus berikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di tengah-tengah perubahan, termasuk memeriksa kembali dan mengemaskinikan sistem dan proses kami.



"Ini mendorong kami untuk mempertingkat lagi perkhidmatan serta pendekatan masyarakat Islam Singapura," ujarnya.



Tambahnya, matlamat utama Muis adalah untuk bekerjasama dengan pemimpin, kakitangan dan sukarelawan di masjid dan madrasah untuk memperkasa dan meningkatkan lagi kepercayaan masyarakat terhadap Muis serta memenuhi keperluan masyarakat Islam di Singapura.



"Dari krisis ini, kita mesti bangkit bersama-sama dengan lebih kukuh dan bersemangat.



"Ini adalah amanah kami kepada diri kami sendiri, masyarakat kita dan akhirnya kepada Pencipta kita," kata Encik Esa.



Beberapa pemimpin masyarakat dan pemerhati yang dihubungi Berita Minggu semalam menyambut baik kenyataan itu dan menganggapnya diperlukan untuk memelihara keyakinan orang ramai dan kewibawaan institusi itu.



Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata ini menunjukkan bahawa Muis mendengar komen masyarakat.



"Penjelasan ini penting dalam menangkis segala tuduhan yang berlaku. Ia juga menunjukkan bahawa bukanlah dalam kepentingan Muis untuk berselindung," katanya.




"Krisis Covid-19 ini mendorong kami untuk bermuhasabah dan melihat bagaimana kita dapat terus berikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di tengah-tengah perubahan, termasuk memeriksa kembali dan mengemaskinikan sistem dan proses kami. Ini mendorong kami untuk mempertingkat lagi perkhidmatan serta pendekatan masyarakat Islam Singapura."
- Ketua Eksekutif Muis Esa Masood.




Laporan lanjut:






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >