Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Muis lahir harapan ibadah haji dibolehkan tahun ini

Ketua Eksekutif Muis: Masyarakat Islam SG perlu terus sesuaikan diri dengan norma baru disebabkan pandemik

NUR DHUHA ESOOF

Jan 29, 2022 | 05:30 AM



MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) berharap ibadah haji dapat disambung semula tahun ini, dengan keutamaan bakal diberikan kepada sekitar 38,000 orang yang "sekian lama bersabar menanti giliran mereka" untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.



Demikian dinyatakan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen, dalam catatan Tahun Baru yang disiarkan di Facebook semalam, turut berkata kelas aLIVE di masjid besar akan terus dijalankan secara hibrid - sejajar dengan langkah pengurusan selamat semasa.



"Tahun lalu, banyak pengubahsuaian dilakukan untuk menangani situasi yang datang akibat Covid-19. Dalam kita melangkah ke tahun 2022, varian baru Covid-19 terus menguji kehidupan keagamaan harian kita.



"Sedang kita menuju ke fasa endemik, saya optimis akan penyambungan semula banyak kegiatan masjid secara berperingkat demi mengutuhkan lagi kehidupan keagamaan kita," kata Encik Kadir.



Beliau menerangkan, buat masa ini, kelas aLIVE fizikal untuk kanak-kanak di masjid lebih kecil telah disambung semula manakala kelas di masjid dengan bilangan pelajar yang lebih besar akan terus dijalankan secara fizikal dan maya.



Kelas agama fizikal untuk jemaah masjid juga telah disambung, di samping menyiarkannya di dalam talian.



Encik Kadir berkata langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS) yang baru diperkenalkan pemerintah sudah tentu akan memberi kesan kepada jemaah dan operasi masjid.



Bermula 1 Februari 2022, individu yang tidak divaksinasi atas pilihan sendiri tidak akan dibenarkan menyertai solat jemaah di kesemua masjid di sini.



Ini termasuk bagi kedua-dua solat harian dan solat Jumaat.



"Namun, Muis kekal komited untuk memastikan masyarakat kita dapat meneruskan aktiviti-aktiviti masjid secara beransur," kata Encik Kadir.



Beliau meluahkan harapan ibadah haji tahun ini dapat disambung semula, tetapi berkata jika dibenarkan, berkemungkinan besar akan terdapat beberapa penyesuaian yang dilakukan sejajar dengan langkah pengurusan selamat di Tanah Suci disebabkan oleh keadaan pandemik ini.



"Muis akan memberi tumpuan dengan memberi peluang kepada mereka yang sekian lama bersabar menanti giliran mereka.



"Setakat ini, terdapat 38,000 orang yang sudah pun berdaftar di dalam sistem, untuk mengerjakan rukun Islam yang kelima ini.



"Muis akan terus bekerja rapat dengan pihak GSA (ejen penjualan pakej haji dan umrah) serta pihak berkuasa untuk memastikan ibadah yang lancar dan selamat bagi mereka yang menerima seruan ke Baitullah," katanya.



Encik Kadir menambah, seperti masyarakat lain di seluruh dunia, masyarakat Islam di Singapura juga sedang melalui satu transformasi dan perkara lazim dahulu akan digantikan dengan norma-norma baru.



Sementara itu, khutbah Jumaat semalam mengingatkan bahawa solat Jumaat adalah satu kewajipan agama dan setiap individu perlu memastikan dua perkara utama iaitu mengambil vaksin seperti yang ditetapkan agar dapat menunaikan solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid-masjid, dan individu Muslim diminta berusaha mendaftarkan diri bagi menunaikan solat itu setiap minggu.



Sekiranya tidak berjaya menempah slot untuk menunaikan solat Jumaat, ketika itu, "barulah rukhsah, ataupun kelonggaran untuk meninggalkan solat Jumaat menjadi pertimbangan," menurut khutbah itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >