Muis lancar program kontemporari possiswazah bagi asatizah

Pelajar lulusan agama universiti luar negara yang mahu menjadi asatizah di S'pura perlu mengikuti program PCICS

PROGRAM possiswazah yang bertujuan membantu golongan asatizah mengamalkan ilmu serta kemahiran relevan dalam konteks Singapura telah dilancarkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) semalam.

Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS), yang bakal dikendalikan Akademi Muis, merupakan program setahun yang akan dimulakan April 2020.

Ia bakal melengkapi pelajar dengan kebolehan untuk menghadapi isu dan masalah agama kontemporari dalam masyarakat dan mendalami pengamalan Islam di Singapura.

Pelajar lulusan universiti luar negara yang menuntut dalam kursus agama dan bercita-cita menjadi sebahagian daripada tenaga asatizah Singapura perlu perlu melalui PCICS.

Ia juga merupakan sebahagian daripada syarat pendaftaran di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Program tersebut dilancarkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa bengkel pertama Pendidikan Islam Tinggi di Hotel Royal Plaza on Scotts.

Siri bengkel anjuran Muis dan Pusat Kajian dan Penilaian Pendidikan Islam (Crème) Universiti Kolej London itu bertujuan mengumpulkan ahli akademik tempatan dan antarabangsa bagi menjana idea membangun generasi asatizah masa hadapan.

Bengkel tersebut turut menjadi wadah pertukaran idea bagi penubuhan Kolej Islam Singapura akan datang.

Berucap di bengkel itu, Encik Masagos berkata program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha menubuhkan Kolej Islam Singapura yang bakal melatih golongan asatizah yang akan membimbing generasi akan datang.

"Dengan PCICS, Muis berharap untuk meneroka pedagogi berbeza dalam mengajar dan mempelajari tentang Islam, dan ini akan diterapkan dalam Kolej Islam Singapura akan datang," ujarnya yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air

Semasa bertemu media, Encik Masagos berkata wujudnya visi untuk membangun masyarakat gemilang di Singapura di mana terdapat keperluan mengimbangi kehidupan sebagai Muslim dan warga Singapura yang baik.

Untuk itu, penting menerapkan apa yang diperlukan dan apa yang berkesan dalam masyarakat, bukan sahaja untuk masyarakat Islam tetapi juga secara keseluruhan.

"Kita mempunyai ruang bersama di Singapura dan kita berinteraksi dengan satu sama lain secara bermakna.

"Ini unik bagi Singapura, untuk itu kita perlukan asatizah untuk memastikan kita mampu hidup sebagai warga Singapura dan juga Muslim yang baik, dan ini tidak bertentangan dengan satu sama lain," ujarnya.

Pengambilan pertama program tersebut akan dibuka bagi 60 pelajar yang bakal menamatkan kursus ijazah sarjana muda mereka di universiti luar negara.

Dalam mengendalikan program itu, Muis telah memulakan kerjasama bersama beberapa universiti luar negara termasuk Universiti Al-Azhar dan Universiti Jordan yang terkenal dengan kepakaran mengajar Sains Islam Tradisional dan Bahasa Arab.

Kerjasama dengan universiti tempatan pula melibatkan Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).

Beberapa modul yang bakal ditawarkan universiti tempatan termasuk Memahami Dunia Sosial, Agama dalam Masyarakat Kontemporari, dan Islam di Asia Tenggara.


"Kita mempunyai ruang bersama di Singapura dan kita berinteraksi dengan satu sama lain secara bermakna.

Ini unik bagi Singapura, untuk itu kita perlukan asatizah untuk memastikan kita mampu hidup sebagai warga Singapura dan juga Muslim yang baik, dan ini tidak bertentangan dengan satu sama lain."
- Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.