MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) ingin menghubungi individu berkenaan wang yang tidak dituntut dan dipegang oleh badan berkanun itu.
Menurut Muis dalam kenyataannya semalam, orang perseorangan ini telah mendaftar untuk menunaikan haji dan telah membayar yuran pendaftaran haji tetapi akhirnya tidak menunaikan ibadah tersebut.
Muis menjelaskan individu yang tersenarai di laman www.unclaimedmonies.gov.sg atau waris mereka yang telah meninggal dunia boleh mengemukakan tuntutan.
Borang pengembalian yuran boleh didapatkan di https://www.muis.gov.sg/Haj/Forms
Seseorang penuntut atau waris mereka harus menghantar salinan imbasan borang yang telah dilengkapkan berserta dokumen-dokumen sokongan kepada Muis melalui e-mel ke haj@muis.gov.sg
Orang ramai boleh menghubungi Unit Strategik Perkhidmatan Haji di talian 6359-1106, 6359-1188 atau 6359-1413.
Singapura memutuskan untuk tidak menghantar rombongan jemaah menunaikan haji di Arab Saudi tahun ini memandangkan pandemik Covid-19 global masih berterusan.
Muis sebelum ini menyatakan keadaan pandemik di seluruh dunia tetap menunjukkan peningkatan dan menjadi perhatian utama.