Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Muis: Perkongsian sidang antarabangsa masyarakat gemilang akan didokumenkan

Baru-baru ini, Persidangan Antarabangsa Masyarakat Gemilang (ICCOS) diadakan buat julung kalinya. Dihadiri kira-kira 500 peserta setempat dan antarabangsa, persidangan itu berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Raffles City. BERITA HARIAN memaparkan pandangan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen mengenai persidangan tersebut serta sedutan pembentangan beberapa penceramah undangan. ◆ Muis akan terus bina masyarakat berjaya ◆ Galak tubuh masyarakat pengamal dan kongsi model dan amalan terbaik di dalam bidang itu
Sep 20, 2022 | 05:30 AM



MENYUSULI Persidangan Antarabangsa Masyarakat Gemilang (ICCOS), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan menumpukan usaha untuk mendokumenkan perkongsian dan pembentangan sepanjang persidangan tersebut, demi memperkayakan Program Penyelidikan bagi Masyarakat Islam Gemilang (RPCS).



Muis akan meneruskan kajian dalam bidang membina masyarakat berjaya, dan menggalakkan penubuhan masyarakat pengamal serta perkongsian model-model dan amalan terbaik di dalam bidang tersebut, kata Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen.



Perkongsian dan dapatan dari program pra-ICCOS, ICCOS serta RPCS akan didokumenkan dan diterbitkan di lelaman ICCOS.



Di samping itu, Muis juga akan memulakan usaha mengumpul bahan-bahan untuk gedung ilmu yang boleh dimanfaatkan orang ramai.



"Muis mendapati banyak perkongsian bernas dari para pembentang persidangan, baik dari segi teori mahupun dari segi amalan berdasarkan pengalaman masyarakat dan institusi luar negara.



"Sebagai contoh, terdapat perkongsian tentang ciri-ciri terbaik di dalam sistem pembentukan asatizah dan pimpinan agama, peri pentingnya mengambil kira konteks semasa dan setempat sepanjang sejarah tamadun Islam, prinsip-prinsip kerakyatan di dalam tradisi Islam, pendekatan menangani kerencaman dan kepelbagaian budaya dan agama, serta interaksi masyarakat beragama dan negara sekular.



"Semua perkongsian ini akan membina bahan dan badan ilmu dalam membangunkan masyarakat cemerlang, yang menjadi asas RPCS," kongsi Encik Kadir kepada Berita Harian (BH).



RPCS telah dilancarkan Jun lalu untuk membangun bidang ilmu tentang isu yang dihadapi masyarakat Islam minoriti dalam masyarakat sekular.



ICCOS, yang merupakan sebahagian RPCS, menurut Encik Kadir bertujuan memulakan perbincangan dan perkongsian bagaimana masyarakat Islam dapat berjaya di dalam pelbagai konteks, terutama konteks masyarakat, negara dan dunia majmuk yang penuh kepelbagaian dan kerencaman.



Di antara perkara yang disentuh ialah peri pentingnya bimbingan agama yang bersesuaian dengan konteks, kepimpinan agama yang memandang ke hadapan serta institusi-institusi masyarakat yang kukuh, di samping penyertaan aktif oleh setiap anggota masyarakat.



Persidangan tersebut telah menonjolkan contoh pengalaman masyarakat Islam Singapura dalam membina kehidupan sosio-agama, di samping contoh dari masyarakat Islam lain, seperti di Afrika Selatan, Amerika Syarikat dan Australia, jelas Encik Kadir.



Memberi penilaiannya, beliau berkata:



"Berkat perkongsian serta pertukaran idea-idea yang agak bernas, para peserta persidangan (sama ada peserta tempatan mahupun global) nampak teruja dengan pengalaman-pengalaman dan model-model positif yang diutarakan, dan bersemangat untuk bersama membangunkan sebuah badan ilmu serta komuniti amalan demi membina dan berkongsi amalan-amalan terbaik untuk masyarakat."



Encik Kadir berkata lagi bahawa menerusi Program Pembelajaran Eksekutif (ESP) yang diadakan sebelum ICCOS, para wakil luar negara dapat mengenali lebih tentang bagaimana badan tempatan bekerjasama dengan kepimpinan agama dan juga pemerintah dalam memperkukuhkan institusi-institusi masyarakat dan kehidupan sosio-agama, lantas memberi pengesahan akan usaha yang dijalankan di Singapura.



Malah, ia juga merupakan perkongsian pengalaman bernas buat peserta antarabangsa akan kemungkinan serta model yang boleh digunapakai setelah diubahsuai mengikut keperluan dan konteks masing-masing, katanya.



Persidangan itu, tambah Encik Kadir, menandakan betapa yakinnya masyarakat Singapura akan kemajuan yang telah dicapai di dalam usahanya membina kehidupan sosio-agama yang berjaya dan memenuhi keperluan setempat.



"Masyarakat Singapura boleh yakin adanya amalan-amalan yang baik yang boleh dikongsi dengan masyarakat Islam sedunia, dan juga yakin dan terbuka untuk menerima maklum balas, di samping mempelajari dari pengalaman dan konteks masyarakat lain yang turut berjaya.



"Sifat yakin dan juga keterbukaan ini merupakan petanda kematangan masyarakat Islam Singapura dalam perjalanan menuju kejayaan," ujarnya.




KUMPUL BAHAN-BAHAN UNTUK GEDUNG ILMU



Muis mendapati banyak perkongsian bernas dari para pembentang persidangan, baik dari segi teori mahupun dari segi amalan berdasarkan pengalaman masyarakat dan institusi luar negara. Sebagai contoh, terdapat perkongsian tentang ciri-ciri terbaik di dalam sistem pembentukan asatizah dan pimpinan agama, peri pentingnya mengambil kira konteks semasa dan setempat sepanjang sejarah tamadun Islam, prinsip-prinsip kerakyatan di dalam tradisi Islam, pendekatan menangani kerencaman dan kepelbagaian budaya dan agama, serta interaksi masyarakat beragama dan negara sekular. Semua perkongsian ini akan membina bahan dan badan ilmu dalam membangunkan masyarakat cemerlang, yang menjadi asas RPCS.”
– Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen.



KEMAJUAN BINA KEHIDUPAN SOSIO-AGAMA YANG BERJAYA DI SINGAPURA



Masyarakat Singapura boleh yakin adanya amalan-amalan yang baik yang boleh dikongsi dengan masyarakat Islam sedunia, dan juga yakin dan terbuka untuk menerima maklum balas, di samping mempelajari dari pengalaman dan konteks masyarakat lain yang turut berjaya. Sifat yakin dan juga keterbukaan ini merupakan petanda kematangan masyarakat Islam Singapura dalam perjalanan menuju kejayaan.
– Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >