Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Muis perkukuh pentadbiran wakaf demi elak pertikaian

May 26, 2017 | 05:30 AM



UNTUK mengukuhkan lagi pentadbiran sektor wakaf, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah menubuhkan rangka kerja resolusi pertikaian wakaf.



Rangka kerja yang ditubuhkan pada Ogos tahun lalu itu diadakan demi memperbaiki hubungan jangka panjang di kalangan pemegang amanah dan antara pemegang amanah dengan penerima wakaf, dengan menyelesaikan pertikaian tanpa perlu mengambil tindakan undang-undang.



Ia selaras dengan rancangan tiga tahun Muis (2016 hingga 2018) mengukuhkan pentadbiran dalam sektor wakafnya.



Dengan tertubuhnya rangka kerja baru itu, Muis kini memainkan peranan melebihi penasihat dan juga menyandang peranan sebagai pengantara.



"(Rangka kerja) ini membolehkan sebarang pertikaian antara mutawalli dapat diselesaikan melalui proses pengantaraan dan pertanyaan, yang akan dijalankan oleh jawatankuasa yang merangkumi pakar-pakar dalam bidang perundangan dan syariah," ujar Timbalan Pengarah Zakat dan Wakaf Muis, Cik Dewi Hartaty Suratty.



"Dengan rangka kerja ini, kita dapat menyelesaikan pertikaian dengan lebih damai dan lebih berkesan tanpa memerlukan kos (perundangan) yang tinggi.



"Kami harap dengan adanya rangka kerja ini... pulangan pada wakaf tidak akan terjejas ekoran konflik dalaman antara mutawalli," tambah beliau.



Pun begitu, Muis menekankan bahawa pendiriannya ialah pemegang amanah perlu cuba menyelesaikan segala isu antara mereka secara baik terlebih dahulu.



Namun, andai perkara itu tidak dapat dilakukan, mereka boleh menghantar aduan kepada Unit Strategik Zakat dan Wakaf Muis (ZWSU).



Pertikaian yang lebih mudah akan diselesaikan ZWSU melalui proses kaunseling atau nasihat.



Andai pertikaian yang diketengahkan lebih sulit, mereka yang mengetengahkan pertikaian tersebut akan dinasihatkan menghadiri sesi pengantaraan oleh panel tiga anggota daripada jawatankuasa resolusi pertikaian wakaf.



Sekiranya penyelesaian masih tidak tercapai, jawatankuasa itu akan merujuk kes tersebut kepada Majlis Muis.



Rangka kerja baru itu diumumkan semalam di Masjid Al-Ansar dalam majlis pengagihan wakaf 2017.



Tahun ini, lebih $3.1 juta telah diagihkan kepada pelbagai penerima termasuk masjid, madrasah dan badan Islam.



Sebanyak $1.5 juta disalurkan kepada 27 masjid di Singapura bagi menampung kerja, antaranya, menaik taraf dan mengubah elok.



Madrasah menerima $390,000, sementara 29 badan Islam diberi $321,000.



Jumlah keseluruhan $3.1 juta itu merupakan peningkatan 3 peratus daripada tahun lalu. Peningkatan tersebut adalah kerana pertumbuhan pendapatan lebih tinggi, menurut Ketua Eksekutif Muis, Encik Abdul Razak Maricar.



"Muis, melalui anak syarikat milik kami sepenuhnya, Warees Investments Pte Ltd, mengambil pendekatan proaktif dan didorong pasaran demi meningkatkan prestasi harta wakaf dan memastikan pulangan baik kepada wakaf.



"Ini penting agar penerima dapat terus mendapati pulangan yang baik meskipun pasaran harta komersial lemah," kata Encik Abdul Razak.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >