PIHAK awam tidak dibenar menziarahi kubur saudara-mara mereka yang ditanam di kawasan perkuburan yang kini sedang digali untuk dikebumikan semula.
Dalam kenyataannya semalam Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata proses gali dan kebumi semula kubur di Pusara Aman telah bermula sejak September tahun lalu di Blok 6, 7, 8, 9, 19 & 20. Sekitar 19,000 kubur terjejas, berdasarkan laporan akhbar ini pada tahun lalu.
Proses itu dijangka selesai pada Disember 2020.
“Blok-blok yang terjejas ditutup kepada awam dan tidak boleh dimasuki atas sebab keselamatan. Anggota keluarga dan saudara-mara tidak dibenar menziarahi kubur yang terjejas sepanjang tempoh projek ini,” kata Muis dalam kenyataannya.
“Kami memohon kerjasama masyarakat Muslim supaya memahami keadaan ini.”
Sekitar 35,000 kubur orang Islam di tanah perkuburan Choa Chu Kang dijadualkan digali dan dikebumikan semula bagi memberi laluan kepada peluasan Pangkalan Udara Tengah (TAB).
Sejumlah 45,000 kubur orang Cina turut terjejas.
Mengikut maklumat di laman web NEA, sejak 2009, ini merupakan penggalian dan pengebumian semula kubur ketiga melibatkan perkuburan orang Islam.
Sekitar 28,000 kubur orang Islam digali dan dikebumikan semula sejak tahun itu.