Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

FOKUS BERITA

Muis sedia selaras pelaksanaan haji bagi warga SG

Apr 07, 2022 | 05:30 AM



MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) telah bersedia untuk menyelaras dan membantu sepenuhnya pelaksanaan haji bagi warga Singapura sebaik ia disambung semula, kata Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen.



Encik Kadir yang telah menemani Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad dalam satu lawatan ke Arab Saudi berkata, beliau menghargai kesediaan pasukan yang terlibat dalam memastikan kesemua kemudahan perubatan, pengangkutan dan tempat tinggal semuanya dalam keadaan sempurna.



Ini meskipun ibadah haji ditundakan selama dua tahun.



"Sedang jutaan jemaah dijangka menunaikan ibadah haji setiap tahun, proses untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak memang kompleks," kata Encik Kadir.



Beliau turut memuji usaha kerajaan Saudi dalam melaksanakan tugas yang baik dalam aspek ini seperti yang dapat dilihat daripada ibadah umrah yang sedang giat dijalankan sekarang.



"Insya-Allah, sebaik pihak berkuasa Saudi menyambung semula ibadah haji, dengan kerjasama jemaah, Muis akan bersedia untuk menyelaraskan dan membantu untuk memastikan perjalanan yang selamat dan diberkati, dari permulaan hingga akhir," katanya dalam catatan di Facebook.



Beliau juga telah sempat mengunjungi kemudahan yang disediakan bagi haji semasa di sana.



Baru-baru ini, Encik Masagos telah berpeluang bertemu dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al Rabiah di Riyadh, Arab Saudi semasa satu lawatan rasmi ke sana.



Dalam pertemuan itu, beliau telah menyampaikan harapan agar jemaah Singapura dapat menunaikan haji tahun ini.



Namun beliau berkata jemaah Singapura mungkin tidak mendapat tahu lebih awal sama ada mereka boleh menunaikan ibadah haji tahun ini disebabkan kerumitan situasi dalam merancang dan menyelaraskan haji untuk jemaah dari seluruh dunia.



Oleh itu Encik Masagos berharap masyarakat Islam Singapura bersikap fleksibel dan bersedia membuat penyesuaian jika keputusan bagi membenarkan jemaah antarabangsa menunaikan haji tahun ini dibuat dan disampaikan pada saat-saat akhir.



Arab Saudi menurut Encik Masagos, sedang menjalankan kajian ke atas jumlah jemaah yang akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini.



Encik Masagos turut menambah bahawa apa jua keputusannya, umat Islam boleh yakin bahawa ia telah dibuat demi kepentingan terbaik jemaah



"Sama-samalah kita berdoa semoga mendapat keputusan yang baik agar haji 2022 dibuka kepada jemaah antarabangsa, termasuk dari Singapura, insya-Allah, dan bersedia sebaik mungkin," kata Encik Masagos dalam catatan Facebooknya.



Dalam masa yang sama, Encik Kadir juga berkesempatan untuk bertemu dengan para pelajar Singapura yang berada di Arab Saudi untuk melanjutkan pengajian Islam peringkat tinggi di beberapa universiti di sana.



Beberapa isu telah dibincangkan bersama para pelajar serta peluang yang menanti mereka sebaik mereka kembali ke tanahair setelah tamat pengajian kelak.



"Saya telah berkongsi kepada mereka bahawa sebagai asatizah masa depan, mereka memainkan peranan penting dalam menawarkan bimbingan keagamaan yang kukuh dan bersesuaian bagi generasi depan Muslim Singapura," ujarnya.



Beliau turut mengajak warga agar berdoa dalam bulan yang mulia ini semoga ibadah haji dapat disambung semula tahun ini.



"Dalam bulan yang mulia ini, marilah kita berdoa agar ibadah haji akan disambung semula tahun ini dan Allah swt melindungi pelajar kita agar selamat dalam mendakapi ilmu berguna yang akan dapat memanfaatkan ummah," katanya lagi.




''Sedang jutaan jemaah dijangka menunaikan ibadah haji setiap tahun, proses untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak memang kompleks. Insya-Allah, sebaik pihak berkuasa Saudi menyambung semula ibadah haji, dengan kerjasama jemaah, Muis akan bersedia untuk menyelaraskan dan membantu untuk memastikan perjalanan yang selamat dan diberkati, dari permulaan hingga akhir.''
- Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >