Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:30
Maghrib
7:10
Isyak
8:25
Setempat

Muis siasat Ustaz yang kecam orang Cina dalam pos tentang koronavirus

Feb 07, 2020 | 10:54 AM

MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) sedang menyiasat seorang ustaz yang telah melahirkan pandangan kurang sensitif dalam satu catatan Facebook berhubung orang Cina di tengah-tengah penularan koronavirus yang sedang berlaku kini.

Dalam catatan bertarikh 5 Februari itu, ustaz yang menggunakan nama Abd’ Al-Halim di Facebook itu, telah mengecam dan menggambarkan orang Cina sebagai pengotor dan tidak menjaga kebersihan, secara tidak langsung mengaitkan orang Cina dengan laporan baru-baru ini yang mendakwa koronavirus boleh disebar menerusi najis manusia.

Muis dalam jawapannya kepada Berita Harian (BH) berkata pihak mereka tahu tentang catatan Facebook itu, yang melahirkan pandangan yang tidak mewakili masyarakat Islam.

“Islam tidak membenarkan pengikutnya menyakitkan perasaan orang lain dengan menggunakan nama agama.

“Memandangkan koronavirus novel 2019 tidak membezakan antara kerakyatan, bangsa atau agama, kami ingin menggesa semua pihak untuk melahirkan pandangan dengan memikirkan mereka yang terjejas dan menunjukkan keprihatinan kepada mereka.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kebersihan diri yang baik, dan mengikut makluman yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (MOH).

“Muis sedang menyiasat perkara ini,” kata jurucakap Muis.

BH difahamkan nama penuh ustaz itu ialah Abdul Halim Abdul Karim dan beliau seorang asatizah bertauliah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) yang mengajar ngaji Al-Quran.

Catatan Facebook itu telah diterbitkan laman media alternatif kelmarin.

Mengongsi pandangan, pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), Ustaz Ali Hj Mohamad, berharap asatizah dapat bertindak secara bertanggungjawab apabila mengongsi maklumat atau memberi respons kepada pertanyaan masyarakat, sama ada di dalam kelas, ceramah, atau laman sosial peribadi.

“Kita tidak harus menganggap bahawa suatu tragedi itu sememangnya satu balasan tuhan bagi kaum atau negara tertentu.

“Kita tidak tahu sebab sebenar atau hikmah di sebalik ketentuan tuhan. Sebaliknya, kita perlu menggalak orang ramai merenung tentang malapetaka yang berlaku, dan untuk melindungi diri kita dan keluarga kita daripada bahaya,” kata beliau.