Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pengorbanan jururawat sepanjang pandemik

Mujur turuti nasihat ayah pilih kursus kejururawatan, bukan jurusan marin

Aug 14, 2021 | 05:30 AM



Jururawat merupakan pekerja barisan depan yang sudah banyak berkorban dalam menjalankan tugas sepanjang pandemik ini. Biarpun Hari Jururawat Singapura sudah pun diraikan pada 1 Ogos lalu, golongan ini harus terus dihargai, tidak kira waktu, atas sumbangan dan peranan besar yang dimainkan mereka. BERITA HARIAN menyorot kisah dua jururawat yang berkongsi pengalaman luas mereka berkhidmat dalam bidang penjagaan kesihatan.



TIDAK terlintas di fikirannya untuk berkecimpung dalam bidang kejururawatan sebelum ini.



Sebaliknya, beliau berhasrat menceburi jurusan teknologi luar pesisir dan marin apabila mahu melanjutkan pelajaran ke Politeknik Ngee Ann memandangkan hobinya adalah memancing.



Namun, pilihan itu ditentang kedua ibu bapanya memandangkan kursus tersebut memerlukannya berjauhan daripada keluarga selama beberapa bulan.



Cik Nur Syahidah Rahmat akhirnya menurut nasihat ayahnya untuk memilih kursus kejururawatan.



Biarpun pada mulanya beliau tidak begitu suka dengan kursus tersebut, minat itu lama-lama mekar dan apabila dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini, perasaan wanita berusia 32 tahun itu terhadap pekerjaannya jauh beza.



Malah, beliau berhasrat mahu kekal berkhidmat sebagai seorang jururawat sehingga bersara.



Jururawat Staf Kanan di Unit Penjagaan Intensif (ICU) Hospital Alexandra itu berkata:



"Saya boleh lihat diri saya bekerja sebagai seorang jururawat hingga saya bersara. Jika saya sudah tidak kuat lagi untuk bekerja di ICU, minat saya yang lain adalah untuk menjadi pendidik jururawat yang mengajar kurikulum penjagaan kritikal."



Bermula sebagai kakitangan wad umum di Hospital Khoo Teck Puat, Cik Syahidah kemudian berpindah ke Universiti Hospital Nasional (NUH) di mana beliau berkhidmat di unit pergantungan tinggi.



Apabila diberi peluang untuk bekerja di ICU di Hospital Alexandra pada 2018, beliau merebutnya tanpa ragu-ragu kerana "ingin mencabar dirinya".



Baginya, minat beliau adalah dalam bidang penjagaan kritikal.



Menyentuh tentang cabaran yang dihadapi, Cik Syahidah berkata antaranya adalah berhubung dengan keluarga pesakit.



"Pesakit ICU selalunya dalam keadaan tenat - mereka memerlukan alat oksigen, tiub pernafasan, diberi sedatif - justeru kami perlu sentiasa menjelaskan keadaan pesakit kepada keluarga mereka. Memandangkan keluarga biasanya rasa gelisah dan bimbang, cabaran kami adalah bagaimana untuk menyampaikan maklumat kepada mereka dalam cara yang tenang dan membuat mereka kurang risau," ujarnya yang sudah berkhidmat dalam bidang kejururawatan selama 11 tahun.



Apabila Covid-19 melanda tahun lalu, Cik Syahidah dikerahkan ke ICU di Pusat Nasional Penyakit Berjangkit (NCID) selama empat bulan.



Pada mulanya, beliau rasa khuatir bagi dirinya dan orang tersayang tetapi dengan mengambil langkah pengurusan selamat seperti mengenakan alat perlindungan peribadi (PPE) di tempat kerja, beliau rasa lebih terlindung.



"Kita tidak akan ketahui betapa serius kesan Covid-19 sehingga kita melihat sendiri keadaan pesakit di NCID yang memakai tiub pernafasan, diinkubasi dan diberi rawatan dialisis. Banyak tiub dilihat di badan pesakit. Ia detik yang mengerikan... dan saya pastikan saya memberitahu orang tersayang untuk jaga diri dan memakai pelitup," jelas lulusan Sarjana Muda dalam Kejururawatan dari Universiti La Trobe, Australia, itu.



Bagi beliau, pengalaman tersebut telah banyak mengajarnya dan membuat beliau lebih cekap untuk bertindak pantas dalam keadaan kritikal.



Menjadi seorang jururawat dalam bidang penjagaan kritikal, menurut Cik Syahidah, memerlukan kecekalan hati, dan seseorang tidak boleh terlalu emosi lebih-lebih lagi apabila pesakit meninggal dunia.



Sebaliknya, seseorang perlu kekalkan semangat dan memberi tumpuan kepada pesakit lain supaya dapat membantu mereka pulih.



Berkongsi apa yang mendorongnya, beliau berkata:



"Apabila pesakit baru masuk ke ICU, saya sendiri lihat keadaan pesakit yang amat teruk. Justeru, untuk melihat pesakit keluar dari ICU... dalam keadaan kesihatan lebih baik itulah yang membuat saya ingin terus berkecimpung dalam kerjaya ini."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >