Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ANUGERAH PSLE KGMS

Murid minat bahasa Melayu, gemar tulis cerpen antara penerima

Dec 19, 2021 | 05:30 AM



KISAH-kisah perkongsian keluarga serta jalan cerita drama yang ditontonnya di kaca televisyen menjadi ilham bagi Falisha Zafilin untuk menulis cerpennya sendiri.



Minat menulis ini berputik sejak Falisha masih kecil lagi dan adalah antara hobi kegemaran pada masa lapangnya.



Falisha, 12 tahun, juga melihat hobinya ini sebagai peluang baginya meningkatkan lagi penggunaan bahasa Melayu.



"Saya memang gemar akan bahasa Melayu dan pada waktu lapang, saya akan menggunakannya untuk menulis karangan atau cerpen," kata Falisha yang juga mendapat bimbingan dari bapanya, Encik Zafilin, seorang guru bahasa Melayu.



Anak kedua dalam kalangan dua beradik itu turut mendapat ilham menerusi buku-buku cerita yang pernah dibaca.



Antaranya seperti siri 'Nabil Nabilah' yang diterbitkan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) bagi murid-murid sekolah rendah dan prasekolah.



"Sebenarnya, saya minat membaca keseluruhan siri 'Nabil Nabilah' terbitan MLLPC kerana siri tersebut berlatarbelakangkan konteks tempatan. Cerita-ceritanya lebih dekat dengan pengalaman peribadi saya," kongsi Falisha.



Bakatnya menulis malah mendapat perhatian guru-gurunya di sekolah dan Falisha juga telah menyumbangkan skrip sendiri untuk beberapa persembahan bagi kelab drama sekolahnya.



Baru-baru ini, bekas pelajar Sekolah Rendah Chongzheng itu meraih keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE). Falisha mendapat markah AL1 bagi subjek Bahasa Melayu.



Falisha adalah antara 20 pelajar yang menerima Anugerah Pendidikan Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) bagi peringkat PSLE tahun ini.



Anugerah tersebut yang diperkenalkan sejak tahun 2013 bertujuan mengiktiraf dan meraikan anak-anak ahli KGMS yang memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan mereka.



Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Setiausaha Parlimen (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, dalam satu majlis berskala kecil yang diadakan di Begonia Pavilion, Downtown East, semalam.



Turut menerima anugerah ini adalah pasangan kembar, Aqilah Mahirah Hafidz dan Aniqah Mahirah Hafidz, anak Cik Siti Khairunnisa Ariffin, seorang cikgu Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Chongzheng.



Mengulas tentang anugerah ini, Cik Khairunnisa berkata: "Saya berharap dengan meraih anugerah ini, ia dapat memberi kedua-dua anak saya lebih keyakinan untuk melangkah lebih jauh lagi."



Dalam ucapannya, Cik Rahayu, yang juga Penasihat KGMS berkata meskipun para pelajar menghadapi cabaran dengan penyesuaian yang perlu dibuat disebabkan oleh Covid-19 serta perubahan pada penskoran PSLE yang bermula tahun ini, mereka berjaya menunjukkan ketabahan dalam mengharungi cabaran ini.



"Semenjak Covid-19 melanda pada hujung tahun 2019, landskap pendidikan negara telah melalui beberapa perubahan dan penyesuaian dalam menghadapi norma baru. Tahun ini juga tidak terkecuali.



"Kohort Darjah 6 pada tahun ini telah berhadapan dengan beberapa kendala yang menimbulkan cabaran-cabaran yang unik dan tidak dilalui oleh kohort terdahulu.



"Namun begitu, dengan sokongan ibu bapa dan usaha berterusan guru-guru dalam mempersiapkan pelajar-pelajar kita untuk PSLE, anak-anak kita mampu dan berjaya menghadapi cabaran-cabaran tersebut dengan tekal dan tabah," katanya.



Sejak diperkenalkan, KGMS telah memberi anugerah pendidikan kepada lebih daripada 200 orang anak ahli persatuan itu.



Selain kategori peringkat PSLE, anugerah tersebut juga diberikan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan GCE Peringkat 'O' dan 'N'.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >